Saturday, November 28, 2020

Kadar bunuh diri bertambah ketika PKP?


Laporan akhbar online Malaysian Dateline yang melaporkan bahawa terdapat 266 kes bunuh diri antara bulan Mac hingga Oktober 2020 telah memberikan satu perspektif yang berbeza kepada diri saya mengenai betapa kuatnya impak pandemik yang melanda negara dan dunia ini. Kadar ini bukan sahaja mengejutkan saya tetapi saya yakin pembaca semuanya.


Walaupun laporan akhbar itu ada menyebut bahawa faktor kejadian ini dikaitkan dengan beban hutang yang tinggi, masalah keluarga dan kes rumah tangga serta sebagainya, saya melihat kewujudan kes ini sebagai impak pandemik yang tersirat. Aspek meragut nyawa sudah diketahui oleh semua sebagai kesan pandemik yang begitu hebat in. Namun, wujud kesan-kesan lain seperti kesan sebeginilah yang akan terus terpalit dalam memori kita semua sebagai rakyat Malaysia.


Impak paling terkesan pandemik ini ialah aspek ekonomi dan ini melibatkan pemberhentian ribuan pekerja di negara ini. Sebut sahaja jawatan pekerja kilang, pekerja pejabat swasta dan juga juruterbang semuanya menerima tempias durjana penyakit berbahaya ini. Apabila seseorang individu itu tidak mempunyai pekerjaan sudah pasti mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membantu diri dan keluarga meneruskan kehidupan harian. Sememangnya, ada yang dibuang kerja hidup bergantung pada tabung simpanan sendiri tetapi pandemik yang sudah melanda ini hampir mencecah setahun pastinya simpanan itu terus berkurangan pula.


Mentaliti masyarakat turut perlu berubah dengan lebih banyak meluahkan perasaan memahami situasi seseorang daripada menilai seseorang yang sedang dilanda masalah sebegini. Ada pihak yang dibuang kerja berusaha mencari rezeki dengan membuka warung dan sebagainya tetapi kita juga perlu sedar berapa ramai yang benar-benar mengaut keuntungan dan berapa banyak pula yang tidak membawa sebarang keuntungan. Bukan semua yang membuka warung itu mempunyai pengalaman lalu mereka terpaksa melakukannya atas faktor terdesak.


Kejadian ini turut membuktikan bahawa rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mempunyai keluarga yang ramai amat memerlukan bantuan kerajaan. Kejadian kes bunuh diri yang semakin bertambah ini harus dikaji bersama-sama dengan pelbagai lagi kejadian sosial yang melibatkan masyarakat ekoran kejadian pandemik ini. Persoalan pendidikan, persoalan kesihatan fizikal, dan kemungkinan juga isu-isu sosial lain yang masih belum  lagi tidak diketengahkan oleh pihak media massa. Pastinya ada isu-isu yang boleh dikaji dan diteliti oleh pihak berkuasa untuk memastikan kehidupan rakyat terus makmur dalam suasana pandemik ini.


Mungkin bukan setakat kebenaran mengeluarkan simpanan KWSP tetapi kerajaan perlu memberikan lebih banyak bantuan lain. Ini tugas ahli politik yang sebenarnya iaitu menjaga kebajikan rakyat yang telah memilih mereka kerana jauh di lubuk hati ini perasaan tidak yakin masalah pandemik ini akan selesai begitu sahaja dengan wujudnya vaksin masih tersimpan erat.

Tuesday, November 17, 2020

 Gaji Menteri memang patut dipotong


Cadangan Dr.Mahathir dan Dr. Wan Azizah  supaya barisan menteri di negara ini dipotong gaji memang ada kebenarannya dan kepentingannya. Hujah ini berdasarkan keperluan utama manusia iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Jadi, katakan menteri itu mempunyai pendapatan RM10 ribu bermakna 10% potongan gajinya hanya melibatkan RM1000. Menteri itu mempunyai baki gajinya yang berjumlah RM9 ribu.


Sekarang bayangkan pekerja biasa di pejabat yang berpendapatan RM1000. Jika 10% potongan dikenakan sudah pasti gaji mereka menjadi RM900. Namun, jika mereka dibuang kerja sudah pasti RM1000 itu tidak akan diterima oleh mereka lagi. Sudah pasti mereka tidak mampu untuk membeli makanan, pakaian, dan membayar sewa atau ansuran rumah yang mereka diami itu.


Kenyataan umum bahawa tidak akan ada mana-mana menteri akan kebuluran turut mengesahkan bahawa bantuan berbentuk kewangan dan makanan amat penting kepada rakyat berbanding dengan pihak menteri. Baki RM9 ribu itu saya yakin boleh digunakan untuk makan di warung mamak entah berapa kali banyaknya berbanding dengan RM900 yang dimiliki orang rakyat biasa.p


Begitu juga dengan para pegawai dan mana-mana individu yang mempunyai pendapatan melebih daripada RM10 ribu sewajarnya menerima potongan gaji sebanyak 10 peratus itu. Sudah pasti ada pihak yang menentang idea ini dengan hujah bahawa setiap individu mempunyai masalah mereka tersendiri. Namun, sekali lagi hujah potongan ini berdasarkan keperluan untuk membeli makanan, pakaian, dan kediaman sahaja. Bayangkan jiran atau kenalan anda mengalami masalah kebuluran kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan akibat pandemik yang berlarutan ini.


Jadi, cadangan dua ahli politik veteran itu sewajarnya dikaji oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa kerana keadaan pandemik ini tidak akan berakhir pada tahun depan. Sememenagnya, situasi pandemik ini mungkin akan beransur baik pada pertengahan tahun depan tetapi semua aktiviti ekonomi terutamanya yang melibatkan golongan berpendapatan rendah pastinya mengambil masa untuk kembali ke zaman puncak mereka sebelum era pandemik itu. Rakyat yang berpendapatan rendah akan memerlukan lebih banyak bantuan terutama daripada aspek kewangan yang begitu mendesak itu.


Sudah sampai masanya, ahli politik membantu rakyat.


Sunday, November 15, 2020

 Rakyat Malaysia perlu selalu berjalan.


Negara kita dikatakan mempunyai jumlah penduduk yang agak ramai mengalami diabetes. Kementerian Kesihatan Malaysia membuat anggaran seramai hampir 4 juta penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami diabetes pada tahun 2019. Pada tahun 2015, jumlah ini ialah 3.5 juta. Pada masa yang sama, negara ini mempunyai banyak gym dan pusat kesihatan yang tumbuh bak cendawan  terutama di kawasan pusat beli-belah itu. Jadi, persoalannya mengapakah rakyat negara ini masih agak ramai mengalami diabetes berbanding dengan negara lain? 


Persoalan ini turut mengundang saya untuk melihat lebih mendalam persoalan ini lalu timbul saya kefahaman bahawa konsep beriadah di negara kita berbeza dengan negara lain terutamanya Jepun. Riadah di negara kita merujuk aktiviti bersenam, mengangkat berat dan berlari atau bersukan yang memerlukan masa serta disiplin diri yang tinggi. Ada rakan saya menghabiskan masa tiga jam di gym selama empat hari seminggu. Bukan semua individu mempunyai masa lapang yang begitu banyak terutama dalam suasana covid-19 ini.


Ya, saya pun sudah berumur lebih 5 dekad dan saya mengaku saya tidak pergi ke gym tetapi saya mengaku saya selalu berjalan. Berjalan memberikan satu kelegaan kepada saya secara emosi dan fizikal. Biasanya, pagi saya akan berjalan selama 40 minit dan petang pula selama 40 minit lagi. Secara purata, saya boleh mencapai 11 ribu langkah setiap hari kecuali hari Ahad yang menyaksikan saya mampu berjalan agak lama sikit sekitar dua jam. 


Rakyat Jepun berjalan secara purata lebih 6500 langkah sehari. Itu sebabnya orang Jepun kelihatan kurus dan mampu hidup dengan lama berbanding dengan warga negara lain. Konsep bersenam mereka yang mengutamakan berjalan kaki itu turut didorong oleh kemudahan sistem pengangkutan dan keselamatan peribadi serta banyak rakyat di negara matahari terbit itu yang tidak mempunyai kereta sendiri. Aspek ini menjadikan amalan berjalan kaki dalam kalangan rakyat Jepun itu sesuatu yang normal.


Orang Jepun apabila pergi membeli barang keperluan, mereka berjalan kaki. Kita apabila ke kedai runcit siap berkereta sekeluarga. Orang Jepun apabila pergi makan malam, mereka berjalan kaki. Kita rakyat Malaysia apabila keluar makan malam akan menggunakan kereta. Ringkasnya, berjalan kaki sudah menjadi satu tabiat atau budaya dalam kalangan rakyat Jepun berbanding Malaysia. Malah, saya pernah ditegur oleh seseorang supaya membeli kereta kerana selalu berjalan kaki. Ada juga teguran dilemparkan kepada saya berkaitan berjalan pada waktu panas.


Saya bukannya menentang amalan bersenam di gym. Malah, adik saya merupakan penggiat gym. Badannya sasa dan berotot-otot. Setiap kali keluar, tubuh sasa adik saya menjadi perhatian berbanding tubuh saya yang biasa itu. Saya tidak nafikan sebarang aktiviti senaman yang mampu mengelaurkan peluh berupaya meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang itu. 


Namun, kita perlu mencari kaedah yang bersesuaian supaya semua pihak mahu bersenam. Amalan pergi ke gym, berlari, dan makanan salad sahaja seolah-olah memberikan gambaran betapa sukarnya untuk menjaga kesihatan peribadi seseorang itu. Masyarakat melihat amalan menjaga kesihatan itu begitu rumit, disiplin tinggi, dan memerlukan kos yang banyak. Lihat saja kos langganan menyertai kelas di gym atau kos membeli makanan sihat di pusat beli-belah, dan sebagainya.


Kalau kita kaji budaya Jepun, sudah jelas bahawa untuk sihat tidak semestinya makan salad sahaja. Untuk sihat, kita tidak semestinya perlu bersenam di gym. Mungkin, salah satu budaya kesihatan yang perlu kita selami ialah amalan berjalan kaki. Kita perlu berjalan setiap hari. Konsep bergerak sepanjang masa harus ada dalam jiwa setiap rakyat di Malaysia ini. Jadikan berjalan kaki itu satu budaya dalam hidup.


Tuesday, November 10, 2020

Penggunaan e-dompet harus digalakkan oleh pihak berkuasa dan swasta.

Salah satu teknologi yang begitu menarik minat saya pada masa ini ialah penggunaan e-dompet. Boleh dikatakan sekarang, dompet tradisional saya tidak lagi mempunyai wang tunai. Mungkin tunai RM20-50 diselitkan di dalam dompet itu untuk digunakan jika betul-betul tidak mempunyai pilihan. Kebanyakannya, saya menggunakan e-dompet terutamanya TnG itu. Saya pernah melihat penjual burger, penjual ais krim bergerak dan kedai runcit  di kawasan perumahan saya menggunakan e-dompet yang membuktikan bahawa teknologi ini mula diterima oleh masyarakat secara perlahan-lahan.


Penggunaan e-dompet bagus kepada saya kerana saya tidak lagi berasa bimbang kehilangan dompet kerana tidak ada wang di dalamnya (Walaupun kad pengenalan masih ada di dalam dompet itu, jadi kehilangan dompet masih satu masalah). Setiap bayaran terutama apabila saya pergi ke kedai menggunakan e-dompet yang begitu senang kerana saya hanya perlu mengimbas kod qr sahaja. Proses membuat bayaran ini tidak mengambil masa yang lama pula.


Begitu juga setiap urusan transaksi tidak begitu merumitkan kerana saya tidak perlu menerima wang tunai bayaran balik daripada pekedai untuk setiap urusan itu. Situasi ini amat ideal terutama ketika negara sedang menghadapi kemelut covid-19 yang entah bila hendak selesai ini. Saya tidak perlu lagi mengira wang baki dan memasukkannya ke dalam poket seluar setiap kali sesuatu barangan dibeli pula.


Pada masa yang sama, kaedah e-dompet ini turut menyimpan semut resit bayaran yang dilakukan oleh saya secara digital lalu memudahkan urusan untuk menyimpan dan menyemak pada masa depan. Ya, memang betul penggunaan resit masih lagi ada tetapi saya yakin pada masa depan pengeluaran resit daripada pekedai mungkin boleh dikurangkan kerana teknologi e-dompet ini sudah mampu untuk menyimpan data pembelian secara elekronik itu. Keadaan ini boleh mengurangkan kos terutama kos kertas resit dan paling penting kos pembuangan sampah sarap kerana masyarakat kita sering membuat resit setelah membuat sesuatu bayaran itu.


Kewujudan resit secara digital juga memudahkan saya dan pengguna lain untuk membuat perancangan kewangan mereka. Setiap bayaran yang berlaku akan direkodkan lalu pengguna boleh melihat kekerapan dan keperluan mereka membeli sesuatu produk pada masa depan itu. Kefahaman tentang corak pembelian peribadi memudahkan mereka membuat perancangan kewangan yang membawa kepada lebih banyak simpanan pada masa depan pula.


Kemungkinan perkara paling menarik penggunaan e-dompet ini Ialah kejadian meragut boleh dikurangkan kerana peragut akan mula sedar bahawa tidak banyak lagi ahli masyarakat membawa wang tunai di dalam dompet mereka sepanjang masa. Peragut sedar bahawa usaha meragut telefon bimbit orang lain akan memerlukan masa dan kesukaran untuk membuka aplikasi yang ada di dalam telefon itu. Semua ini akan menghalang niat mereka untuk melakukan aktiviti negatif ini lalu memberikan keyakinan kepada diri saya dan masyarakat untuk tenang ketika berjalan di luar kawasan rumah mereka.


Pihak kerajaan perlulah mengadakan lebih banyak insentif untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat dengan memberikan kemudahan internet yang lebih berkualiti dan meluas terutama di kawasan pedalaman supaya teknologi ini mampu dinikmati oleh semua pihak di Malaysia.


Tuesday, November 3, 2020

Negara memerlukan lonjatan Literasi Digital


Dalam kemelut negara menghadapi cabaran covid-19 ini sektor pendidikan sering menjadi perbualan masyarakat terutama dalam usaha melestarikan pendidikan negara. Kegelisahan masyarakat tentang perjalanan peperiksaan SPM turut mengundangkan lebih banyak persoalan dalam isu ini. Persoalannya, mengapakah kita tidak mahu menjadikan usaha literasi digital sebagai satu keperluan utama Malaysia untuk melangkah ke hadapan. Literasi digital sekurang-kurangnya mampu untuk mengurangkan masalah pembelajaran secara online dan sebagainya yang semakin menghimpit sistem pendidikan Malaysia.


Literasi digital ini memerlukan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, swasta dan masyarakat. Kerajaan seharusnya melancarkan pelbagai program yang berkaitan dengan literasi digital ini sama ada dalam bentuk dasar, perundangan dan  kempen penerangan yang boleh disebarkan secara meluas itu. Malaysia perlu memiliki satu dasar literasi digital yang komprehensif. Dasar itu perlu diwujudkan sekarang.


Manakala, pihak swasta hendaklah membantu kerajaan dengan memberikan laluan Internet yang bukan sahaja murah tetapi turut berkemampuan untuk melakukan komunikasi video sepanjang masa. Penulis difahamkan konsep broadband di negara ini dan negara lain seperti Singapura dan Korea Selatan agak berbeza iaitu broadband dua negara luar itu lebih laju dan berupaya memuat turun bahan dengan lebih laju berbanding broadband Malaysia. Kelajuan broadband turut penting bersama-sama keluasan kawasan liputan Internet juga memainkan peranan kerana kita tidak mahu ada lagi golongan pelajar kita terpaksa bersusah-payah memanjat pokok atau mendaki kawasan bukit atas alasan untuk menerima isyarat Internet yang stabil.


Masyarakat turut perlu berubah minda mereka. Konsep melihat Internet sebagai tidak penting harus dikikis segera. Kewujudan literasi digital dalam jiwa masyarakat akan membuka banyak peluang untuk meninggikan taraf hidup mereka. Aspek pendidikan anak dan prospek melakukan aktiviti ekonomi serta berkomunikasi sesama ahli keluarga akan memberikan satu dimensi baharu kepada masyarakat dalam melihat kemodenan Internet itu. Literasi digital ialah satu keperluan lalu pemilikan Internet satu kemestian dalam sesebuah keluarga.


Pada masa yang sama, literasi digital ini juga merujuk kemampuan masyarakat untuk memahami konsep kata laluan yang kukuh, memahami ketetapan privasi dalam gajet sendiri, dan kemampuan menilai sesuatu kandungan Internet yang mempunyai kepelbagaian objektif itu. Ringkasnya, literasi digital bukan sahaja melibatkan kemudahan Internet tetapi kemampuan masyarakat untuk menggunakan Internet dan peranti teknologi ini dengan cara yang betul dan selamat.


Sebenarnya, literasi digital merupakan salah satu kemahiran abad ke-21 yang amat diperlukan oleh masyarakat terutama generasi muda untuk menongkah arus kehidupan kerjaya dan masa depan mereka.

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...