Gaji Menteri memang patut dipotong
Cadangan Dr.Mahathir dan Dr. Wan Azizah supaya barisan menteri di negara ini dipotong gaji memang ada kebenarannya dan kepentingannya. Hujah ini berdasarkan keperluan utama manusia iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Jadi, katakan menteri itu mempunyai pendapatan RM10 ribu bermakna 10% potongan gajinya hanya melibatkan RM1000. Menteri itu mempunyai baki gajinya yang berjumlah RM9 ribu.
Sekarang bayangkan pekerja biasa di pejabat yang berpendapatan RM1000. Jika 10% potongan dikenakan sudah pasti gaji mereka menjadi RM900. Namun, jika mereka dibuang kerja sudah pasti RM1000 itu tidak akan diterima oleh mereka lagi. Sudah pasti mereka tidak mampu untuk membeli makanan, pakaian, dan membayar sewa atau ansuran rumah yang mereka diami itu.
Kenyataan umum bahawa tidak akan ada mana-mana menteri akan kebuluran turut mengesahkan bahawa bantuan berbentuk kewangan dan makanan amat penting kepada rakyat berbanding dengan pihak menteri. Baki RM9 ribu itu saya yakin boleh digunakan untuk makan di warung mamak entah berapa kali banyaknya berbanding dengan RM900 yang dimiliki orang rakyat biasa.p
Begitu juga dengan para pegawai dan mana-mana individu yang mempunyai pendapatan melebih daripada RM10 ribu sewajarnya menerima potongan gaji sebanyak 10 peratus itu. Sudah pasti ada pihak yang menentang idea ini dengan hujah bahawa setiap individu mempunyai masalah mereka tersendiri. Namun, sekali lagi hujah potongan ini berdasarkan keperluan untuk membeli makanan, pakaian, dan kediaman sahaja. Bayangkan jiran atau kenalan anda mengalami masalah kebuluran kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan akibat pandemik yang berlarutan ini.
Jadi, cadangan dua ahli politik veteran itu sewajarnya dikaji oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa kerana keadaan pandemik ini tidak akan berakhir pada tahun depan. Sememenagnya, situasi pandemik ini mungkin akan beransur baik pada pertengahan tahun depan tetapi semua aktiviti ekonomi terutamanya yang melibatkan golongan berpendapatan rendah pastinya mengambil masa untuk kembali ke zaman puncak mereka sebelum era pandemik itu. Rakyat yang berpendapatan rendah akan memerlukan lebih banyak bantuan terutama daripada aspek kewangan yang begitu mendesak itu.
Sudah sampai masanya, ahli politik membantu rakyat.
No comments:
Post a Comment