Kadar bunuh diri bertambah ketika PKP?
Laporan akhbar online Malaysian Dateline yang melaporkan bahawa terdapat 266 kes bunuh diri antara bulan Mac hingga Oktober 2020 telah memberikan satu perspektif yang berbeza kepada diri saya mengenai betapa kuatnya impak pandemik yang melanda negara dan dunia ini. Kadar ini bukan sahaja mengejutkan saya tetapi saya yakin pembaca semuanya.
Walaupun laporan akhbar itu ada menyebut bahawa faktor kejadian ini dikaitkan dengan beban hutang yang tinggi, masalah keluarga dan kes rumah tangga serta sebagainya, saya melihat kewujudan kes ini sebagai impak pandemik yang tersirat. Aspek meragut nyawa sudah diketahui oleh semua sebagai kesan pandemik yang begitu hebat in. Namun, wujud kesan-kesan lain seperti kesan sebeginilah yang akan terus terpalit dalam memori kita semua sebagai rakyat Malaysia.
Impak paling terkesan pandemik ini ialah aspek ekonomi dan ini melibatkan pemberhentian ribuan pekerja di negara ini. Sebut sahaja jawatan pekerja kilang, pekerja pejabat swasta dan juga juruterbang semuanya menerima tempias durjana penyakit berbahaya ini. Apabila seseorang individu itu tidak mempunyai pekerjaan sudah pasti mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membantu diri dan keluarga meneruskan kehidupan harian. Sememangnya, ada yang dibuang kerja hidup bergantung pada tabung simpanan sendiri tetapi pandemik yang sudah melanda ini hampir mencecah setahun pastinya simpanan itu terus berkurangan pula.
Mentaliti masyarakat turut perlu berubah dengan lebih banyak meluahkan perasaan memahami situasi seseorang daripada menilai seseorang yang sedang dilanda masalah sebegini. Ada pihak yang dibuang kerja berusaha mencari rezeki dengan membuka warung dan sebagainya tetapi kita juga perlu sedar berapa ramai yang benar-benar mengaut keuntungan dan berapa banyak pula yang tidak membawa sebarang keuntungan. Bukan semua yang membuka warung itu mempunyai pengalaman lalu mereka terpaksa melakukannya atas faktor terdesak.
Kejadian ini turut membuktikan bahawa rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mempunyai keluarga yang ramai amat memerlukan bantuan kerajaan. Kejadian kes bunuh diri yang semakin bertambah ini harus dikaji bersama-sama dengan pelbagai lagi kejadian sosial yang melibatkan masyarakat ekoran kejadian pandemik ini. Persoalan pendidikan, persoalan kesihatan fizikal, dan kemungkinan juga isu-isu sosial lain yang masih belum lagi tidak diketengahkan oleh pihak media massa. Pastinya ada isu-isu yang boleh dikaji dan diteliti oleh pihak berkuasa untuk memastikan kehidupan rakyat terus makmur dalam suasana pandemik ini.
Mungkin bukan setakat kebenaran mengeluarkan simpanan KWSP tetapi kerajaan perlu memberikan lebih banyak bantuan lain. Ini tugas ahli politik yang sebenarnya iaitu menjaga kebajikan rakyat yang telah memilih mereka kerana jauh di lubuk hati ini perasaan tidak yakin masalah pandemik ini akan selesai begitu sahaja dengan wujudnya vaksin masih tersimpan erat.
No comments:
Post a Comment