Negara memerlukan lonjatan Literasi Digital
Dalam kemelut negara menghadapi cabaran covid-19 ini sektor pendidikan sering menjadi perbualan masyarakat terutama dalam usaha melestarikan pendidikan negara. Kegelisahan masyarakat tentang perjalanan peperiksaan SPM turut mengundangkan lebih banyak persoalan dalam isu ini. Persoalannya, mengapakah kita tidak mahu menjadikan usaha literasi digital sebagai satu keperluan utama Malaysia untuk melangkah ke hadapan. Literasi digital sekurang-kurangnya mampu untuk mengurangkan masalah pembelajaran secara online dan sebagainya yang semakin menghimpit sistem pendidikan Malaysia.
Literasi digital ini memerlukan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, swasta dan masyarakat. Kerajaan seharusnya melancarkan pelbagai program yang berkaitan dengan literasi digital ini sama ada dalam bentuk dasar, perundangan dan kempen penerangan yang boleh disebarkan secara meluas itu. Malaysia perlu memiliki satu dasar literasi digital yang komprehensif. Dasar itu perlu diwujudkan sekarang.
Manakala, pihak swasta hendaklah membantu kerajaan dengan memberikan laluan Internet yang bukan sahaja murah tetapi turut berkemampuan untuk melakukan komunikasi video sepanjang masa. Penulis difahamkan konsep broadband di negara ini dan negara lain seperti Singapura dan Korea Selatan agak berbeza iaitu broadband dua negara luar itu lebih laju dan berupaya memuat turun bahan dengan lebih laju berbanding broadband Malaysia. Kelajuan broadband turut penting bersama-sama keluasan kawasan liputan Internet juga memainkan peranan kerana kita tidak mahu ada lagi golongan pelajar kita terpaksa bersusah-payah memanjat pokok atau mendaki kawasan bukit atas alasan untuk menerima isyarat Internet yang stabil.
Masyarakat turut perlu berubah minda mereka. Konsep melihat Internet sebagai tidak penting harus dikikis segera. Kewujudan literasi digital dalam jiwa masyarakat akan membuka banyak peluang untuk meninggikan taraf hidup mereka. Aspek pendidikan anak dan prospek melakukan aktiviti ekonomi serta berkomunikasi sesama ahli keluarga akan memberikan satu dimensi baharu kepada masyarakat dalam melihat kemodenan Internet itu. Literasi digital ialah satu keperluan lalu pemilikan Internet satu kemestian dalam sesebuah keluarga.
Pada masa yang sama, literasi digital ini juga merujuk kemampuan masyarakat untuk memahami konsep kata laluan yang kukuh, memahami ketetapan privasi dalam gajet sendiri, dan kemampuan menilai sesuatu kandungan Internet yang mempunyai kepelbagaian objektif itu. Ringkasnya, literasi digital bukan sahaja melibatkan kemudahan Internet tetapi kemampuan masyarakat untuk menggunakan Internet dan peranti teknologi ini dengan cara yang betul dan selamat.
Sebenarnya, literasi digital merupakan salah satu kemahiran abad ke-21 yang amat diperlukan oleh masyarakat terutama generasi muda untuk menongkah arus kehidupan kerjaya dan masa depan mereka.
No comments:
Post a Comment