Penggunaan e-dompet harus digalakkan oleh pihak berkuasa dan swasta.
Salah satu teknologi yang begitu menarik minat saya pada masa ini ialah penggunaan e-dompet. Boleh dikatakan sekarang, dompet tradisional saya tidak lagi mempunyai wang tunai. Mungkin tunai RM20-50 diselitkan di dalam dompet itu untuk digunakan jika betul-betul tidak mempunyai pilihan. Kebanyakannya, saya menggunakan e-dompet terutamanya TnG itu. Saya pernah melihat penjual burger, penjual ais krim bergerak dan kedai runcit di kawasan perumahan saya menggunakan e-dompet yang membuktikan bahawa teknologi ini mula diterima oleh masyarakat secara perlahan-lahan.
Penggunaan e-dompet bagus kepada saya kerana saya tidak lagi berasa bimbang kehilangan dompet kerana tidak ada wang di dalamnya (Walaupun kad pengenalan masih ada di dalam dompet itu, jadi kehilangan dompet masih satu masalah). Setiap bayaran terutama apabila saya pergi ke kedai menggunakan e-dompet yang begitu senang kerana saya hanya perlu mengimbas kod qr sahaja. Proses membuat bayaran ini tidak mengambil masa yang lama pula.
Begitu juga setiap urusan transaksi tidak begitu merumitkan kerana saya tidak perlu menerima wang tunai bayaran balik daripada pekedai untuk setiap urusan itu. Situasi ini amat ideal terutama ketika negara sedang menghadapi kemelut covid-19 yang entah bila hendak selesai ini. Saya tidak perlu lagi mengira wang baki dan memasukkannya ke dalam poket seluar setiap kali sesuatu barangan dibeli pula.
Pada masa yang sama, kaedah e-dompet ini turut menyimpan semut resit bayaran yang dilakukan oleh saya secara digital lalu memudahkan urusan untuk menyimpan dan menyemak pada masa depan. Ya, memang betul penggunaan resit masih lagi ada tetapi saya yakin pada masa depan pengeluaran resit daripada pekedai mungkin boleh dikurangkan kerana teknologi e-dompet ini sudah mampu untuk menyimpan data pembelian secara elekronik itu. Keadaan ini boleh mengurangkan kos terutama kos kertas resit dan paling penting kos pembuangan sampah sarap kerana masyarakat kita sering membuat resit setelah membuat sesuatu bayaran itu.
Kewujudan resit secara digital juga memudahkan saya dan pengguna lain untuk membuat perancangan kewangan mereka. Setiap bayaran yang berlaku akan direkodkan lalu pengguna boleh melihat kekerapan dan keperluan mereka membeli sesuatu produk pada masa depan itu. Kefahaman tentang corak pembelian peribadi memudahkan mereka membuat perancangan kewangan yang membawa kepada lebih banyak simpanan pada masa depan pula.
Kemungkinan perkara paling menarik penggunaan e-dompet ini Ialah kejadian meragut boleh dikurangkan kerana peragut akan mula sedar bahawa tidak banyak lagi ahli masyarakat membawa wang tunai di dalam dompet mereka sepanjang masa. Peragut sedar bahawa usaha meragut telefon bimbit orang lain akan memerlukan masa dan kesukaran untuk membuka aplikasi yang ada di dalam telefon itu. Semua ini akan menghalang niat mereka untuk melakukan aktiviti negatif ini lalu memberikan keyakinan kepada diri saya dan masyarakat untuk tenang ketika berjalan di luar kawasan rumah mereka.
Pihak kerajaan perlulah mengadakan lebih banyak insentif untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat dengan memberikan kemudahan internet yang lebih berkualiti dan meluas terutama di kawasan pedalaman supaya teknologi ini mampu dinikmati oleh semua pihak di Malaysia.
No comments:
Post a Comment