Sunday, November 15, 2020

 Rakyat Malaysia perlu selalu berjalan.


Negara kita dikatakan mempunyai jumlah penduduk yang agak ramai mengalami diabetes. Kementerian Kesihatan Malaysia membuat anggaran seramai hampir 4 juta penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami diabetes pada tahun 2019. Pada tahun 2015, jumlah ini ialah 3.5 juta. Pada masa yang sama, negara ini mempunyai banyak gym dan pusat kesihatan yang tumbuh bak cendawan  terutama di kawasan pusat beli-belah itu. Jadi, persoalannya mengapakah rakyat negara ini masih agak ramai mengalami diabetes berbanding dengan negara lain? 


Persoalan ini turut mengundang saya untuk melihat lebih mendalam persoalan ini lalu timbul saya kefahaman bahawa konsep beriadah di negara kita berbeza dengan negara lain terutamanya Jepun. Riadah di negara kita merujuk aktiviti bersenam, mengangkat berat dan berlari atau bersukan yang memerlukan masa serta disiplin diri yang tinggi. Ada rakan saya menghabiskan masa tiga jam di gym selama empat hari seminggu. Bukan semua individu mempunyai masa lapang yang begitu banyak terutama dalam suasana covid-19 ini.


Ya, saya pun sudah berumur lebih 5 dekad dan saya mengaku saya tidak pergi ke gym tetapi saya mengaku saya selalu berjalan. Berjalan memberikan satu kelegaan kepada saya secara emosi dan fizikal. Biasanya, pagi saya akan berjalan selama 40 minit dan petang pula selama 40 minit lagi. Secara purata, saya boleh mencapai 11 ribu langkah setiap hari kecuali hari Ahad yang menyaksikan saya mampu berjalan agak lama sikit sekitar dua jam. 


Rakyat Jepun berjalan secara purata lebih 6500 langkah sehari. Itu sebabnya orang Jepun kelihatan kurus dan mampu hidup dengan lama berbanding dengan warga negara lain. Konsep bersenam mereka yang mengutamakan berjalan kaki itu turut didorong oleh kemudahan sistem pengangkutan dan keselamatan peribadi serta banyak rakyat di negara matahari terbit itu yang tidak mempunyai kereta sendiri. Aspek ini menjadikan amalan berjalan kaki dalam kalangan rakyat Jepun itu sesuatu yang normal.


Orang Jepun apabila pergi membeli barang keperluan, mereka berjalan kaki. Kita apabila ke kedai runcit siap berkereta sekeluarga. Orang Jepun apabila pergi makan malam, mereka berjalan kaki. Kita rakyat Malaysia apabila keluar makan malam akan menggunakan kereta. Ringkasnya, berjalan kaki sudah menjadi satu tabiat atau budaya dalam kalangan rakyat Jepun berbanding Malaysia. Malah, saya pernah ditegur oleh seseorang supaya membeli kereta kerana selalu berjalan kaki. Ada juga teguran dilemparkan kepada saya berkaitan berjalan pada waktu panas.


Saya bukannya menentang amalan bersenam di gym. Malah, adik saya merupakan penggiat gym. Badannya sasa dan berotot-otot. Setiap kali keluar, tubuh sasa adik saya menjadi perhatian berbanding tubuh saya yang biasa itu. Saya tidak nafikan sebarang aktiviti senaman yang mampu mengelaurkan peluh berupaya meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang itu. 


Namun, kita perlu mencari kaedah yang bersesuaian supaya semua pihak mahu bersenam. Amalan pergi ke gym, berlari, dan makanan salad sahaja seolah-olah memberikan gambaran betapa sukarnya untuk menjaga kesihatan peribadi seseorang itu. Masyarakat melihat amalan menjaga kesihatan itu begitu rumit, disiplin tinggi, dan memerlukan kos yang banyak. Lihat saja kos langganan menyertai kelas di gym atau kos membeli makanan sihat di pusat beli-belah, dan sebagainya.


Kalau kita kaji budaya Jepun, sudah jelas bahawa untuk sihat tidak semestinya makan salad sahaja. Untuk sihat, kita tidak semestinya perlu bersenam di gym. Mungkin, salah satu budaya kesihatan yang perlu kita selami ialah amalan berjalan kaki. Kita perlu berjalan setiap hari. Konsep bergerak sepanjang masa harus ada dalam jiwa setiap rakyat di Malaysia ini. Jadikan berjalan kaki itu satu budaya dalam hidup.


No comments:

Post a Comment

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...