Antara virus dan membeli komputer riba atau makanan
Aktiviti pembelajaran secara online sudah bermula di sekolah smeula dengan lebih menyeluruh. Ada yang melihatnya baik dan ada juga yang melihatnya sebagai tidak berkesan. Pada saya, kita perlu berubah ke arah penggunaan teknologi terutama jika teknologi itu mampu untuk menjadikan kehidupan harian manusia lebih baik dan dalam kes ini kehidupan pelajar lebih baik berbanding sebelum ini.
Saya juga terlibat dalam bidang pendidikan. Jadi, saya berpendapat sedikit sebanyak masalah yang saya ketengahkan ini turut mampu memberikan pencerahan kepada semua bahawa negara ini akan mempunyai satu kelompok generasi muda yang tidak menerima pendidikan yang sempurna untuk beberapa bulan atau mungkin setahun lagi. (virus covid-19 ini sudah setahun usianya di Malaysia ketika artikel ini ditulis)
Masalah yang paling ketara ialah liputan teknologi internet yang agak terhad. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa kawasan bandar mempunyai liputan yang baik tetapi ada juga pelajar saya yang tinggal di Kuala Lumpur meluahkan rasa sukarnya mereka untuk memperoleh rangkaian internet yang stabil ketika di rumah. Pelajar di kawasan pedalaman pasti ketara mengalami masalah ini terutama jika kita membaca liputan akhbar tempatan. Kemungkin faktor gelombang jalur lebar mereka yang tidak stabil atau cukup kuat untuk melihat siaran video guru-guru itu membawa kemelut ini berlaku. Begitu juga dengan masalah nota. Kebanyakan bahan pendidikan disediakan lalu diberikan kepada pelajar tetapi ada pelajar yang tidak mampu membuat salinan lalu mereka hanya menyalin jawapan sahaja di kertas kosong ketika mendengar penerangan guru.
Ada juga pelajar yang tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk mendengar penerangan guru secara online ini. Mereka tidak mampu untuk membeli komputer riba atau tablet atau phone untuk memudahkan urusan kelas online. Kemelut pengangguran yang melanda keluarga mereka akibat virus ini telah menyebabkan bebanan membeli peralatan sebegini menjadi satu perkara yang besar kepada mereka selain memastikan ahli keluarga mempunyai makanan setiap hari. Malah, peralatan kelas online ini bukanlah murah kerana semuanya menelan kos ratusan atau ribuan ringgit.
Ada juga ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk menyediakan satu situasi yang kondusif untuk pembelajaran online anak mereka. Persoalan kekurangan pengetahuan untuk membeli komputer riba, tablet dan melanggan Internet turut berlaku kerana bukan semua ibu bapa mempunyai kemahiran yang mendalam tentang teknologi ini. Kekeliruan sebegini boleh menyebabkan kegagalan untuk membeli peralatan yang betul untuk keperluan anak pula.
Jadi, apakah peranan kerajaan, swasta dan ahli politik dalam menyelesaikan perkara ini. Setakat ini, saya hanya mendengar seorang ahli politik di Johor yang membuat program menderma komputer riba kepada penduduk kawasan pilihan rayanya. Saya juga mendengar seorang ahli perniagaan dan penceramah agama yang sanggup membeli beberapa ratus tablet untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukannya. Bagaimana dengan pihak kerajaan? Adakah mereka akan membuat satu program untuk menyediakan komputer riba atau tablet kepada pelajar yang memerlukannya? Begitu juga dengan pihak yang menyediakan perkhidmatan Internet ini, adakah mereka akan membina lebih banyak penerima gelombang supaya perkhidmatan Internet lebih stabil. Apakah tindakan kecemasan mereka untuk kemudahan pendidikan negara sekarang? Namun, dalam keadaan ekonomi negara yang gawat dan ketidakpastian ancaman covid-19 ini, peluang untuk masalah ini diselesaikan nampak suram.
Mungkin itu kelemahan negara kita iaitu kita agak lambat bertindak atau kita hanya membiarkan sahaja masalah itu berlalu angin di tepi pantai. Kita hanya bertindak selepas masalah menjadi lebih besar. Semoga semua pihak terutama kerajaan mencari jalan segera untuk mengatasi kepincangan dalam penyediaan kelas online ini. Semua pihak baik guru, pelajar dan ibu bapa masih tercari-cari kaedah yang sesuai untuk memastikan pendidikan generasi muda ini tidak ketinggalan.
Atau mungkin lebih baik kita gunakan televisyen dan radio sebagai alat pembelajaran kerana hampir semua rakyat Malaysia sudah memiliki teknologi ini.
Fikirkan.
No comments:
Post a Comment