2020 menghilang 2021 mula memunculkan dirinya
Sudah hampir seminggu Tahun 2021 menjengah kehidupan kita semua. Biasanya, saya akan duduk minum kopi di ruang dapur rumah saya melihat ke luar tingkap rumah. Ada sebatang pokok di belakang rumah saya yang menjadi tempat lepak sekawan burung. Mereka kelihatan cergas, aktif dan ceria berdasarkan aksi serta bunyi siulan itu. Hidup yang menarik dan menggembirakan agaknya.
Ketenangan jiwa saya itu diganggu oleh bunyian teknologi moden. Kedengaran bunyi mesej telefon bimbit saya berulang kali. Kenalan lama menghantar pesanan demi pesanan. Kebanyakan pesanannya berkisar kepada kehidupan kami pada masa dahulu di sebuah universiti di bangi. Pengalaman menghadiri kuliah, pengalaman menyertai ekspedisi dan sebagainya. Suasana ketika belajar di kampus mula bermain-main dalam minda saya itu.
Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mengenang semula kenangan atau peristiwa silam. Perasaan nostalgia itu memang penting dalam kehidupan manusia. Perasaan menghargai kenangan lalu, persahabatan dan sebagainya. Namun, jika kisah lama ini terus diceritakan setiap kali tahun baharu menjelang atau setiap kali pertemuan dengan rakan lama berlaku, pastinya perkara itu bukanlah sesuatu yang positif untuk diteruskan.
Mengapakah ada individu yang suka meluahkan perkara-perkara yang sudah berlaku suatu masa dahulu dalam hidup mereka? Mungkinkah mereka tidak gembira dengan situasi kehidupan mereka kini? Kemungkinan juga perkara lama yang berlaku itu benar-benar memberikan kegembiraan lalu lebih baik diulang-ulangkan kerana suasana kehidupan sekarang tidak membahagiakan diri. Ungkapan-ungkapan saya perlu atau saya seharusnya atau jika saya merupakan antara bukti yang mengesahkan bahawa perbualan individu itu lebih banyak ke arah keceriaan masa Lalu Kerana hidup mereka tidak menggembirakan buat masa sekarang.
Saya melihat ungkapan-ungkapan ini sebagai satu tanda rasa bersalah atau berasa malu dengan diri. Semua ini tidak memberikan sebarang kesan positif kepada perkembangan diri seseorang itu. Adakalanya, perasaan bersalah ini boleh menjadi atau bertukar menjadi dendam pula. Kita semua sedia maklum bahawa tidak ada sebarang perkara baik muncul daripada konsep dendam itu.
Untuk keluar daripada konsep kehidupan lama ini, kita perlu sedar untuk membenarkan pemikiran rasional menguasai diri. Salah satu sebab kita selalu mengimbau perkara lalu kerana kita melihat tindakan lalu merupakan satu kesilapan. Kita semua membuat keputusan yang betul. Cuma keputusan yang kita buat itu berdasarkan maklumat dan pengetahuan yang kita ada atau peroleh pada masa tersebut.
Kita tidak mempunyai bola ajaib untuk meramalkan dengan tepat perkara yang akan berlaku pada masa depan. Semua kesilapan masa lalu itu bukanlah satu KESILAPAN tetapi satu tindakan atau keputusan yang telah kita semua ambil. Peristiwa yang berlaku pada masa depan merupakan sesuatu yang kita tidak boleh kawal atau tentukan. Lantaran itu, kita tidak seharusnya menyalahkan keputusan lalu yang sudah lama berlaku jika kehidupan kita tidak berjalan dengan lancar.
Kita perlu mencari kedamaian dengan diri sendiri terutama keputusan-keputusan dahulu yang mungkin tidak memberikan sebarang impak positif dalam hidup. Kita kena sedar kemampuan dan kelebihan diri lalu berusaha untuk melihat masa depan dengan lebih baik. Kita berusaha untuk mencapai kejayaan masa depan. Kita tidak mahu menyalahkan diri atas perkara yang sudah lama berlaku itu.
Jadi, mari kita lihat 2021 dengan hati yang terbuka tetapi penuh rasional dan bersedia menerima sesuatu yang baharu dalam kehidupan sendiri.
No comments:
Post a Comment