Sunday, February 21, 2021

Mencuba cara hidup masing-masing

Cara hidup masing-masing.


Saya suka menaiki LRT. Mungkin sebab ketika kecil ayah saya sering membawa kami balik ke kampung menaiki kereta api. Mungkin juga bunyi atau pergerakan  LRT yang seolah-olah seperti kereta pai itu itu memberikan ketenangan kepada diri lalu berasa gembira. Saya memilih LRT daripada memandu kerana LRT memberikan kegembiraan kepada saya. Memandu menimbulkan ketegangan dan stres yang tidak saya perlukan lagi. Ada dua tiga kenalan saya sering bertanyakan soalan LRT. Mungkin saya tidak nampak kelebihan memandu sama seperti orang lain tidak nampak kelebihan LRT kepada saya.


Pada pandangan saya, kita semua berhak menentukan cara hidup selagi perkara itu tidak membawa kemudaratan kepada sesiapa pula. Manusia seharusnya menumpukan perhatian kepada cara hidup yang sudah mereka pilih daripada mengkritik kehidupan orang lain terutama jika kita tidak mengenali insan tersebut. Kita tidak tahu susah payah yang mereka alami untuk memilih jenis cara hidup tertentu itu.


Sebagai contoh, bukan semua ahli perniagaan itu mengutamakan aspek kewangan sahaja. Saya pernah bertemu dengan ahli perniagaan yang mengutamakan kewajipan membantu masyarakat. Lihat sahaja tindakan seorang ahli pendakwah yang juga ahli perniagaan yang suka membantu sesiapa sahaja sehinggakan saya bependapat tindakan beliau lebih banyak membawa manfaat kepada kesejahteraan hidup rakyat daripada sesetengah pemimpin kita yang cakap tidak serupa bikin itu. Lantaran itu, kita tidak boleh terus mengkritik ahli perniagaan atas alasan mereka suka akan wang.


Tujuan kita hidup ini adalah untuk memilih cara hidup yang kita mahukan secara sedar. Perkara ini penting kerana cara hidup yang kita pilih itulah yang akan menentukan hala tuju kehidupan seseorang pada masa depan. Semua yang berlaku dalam kehidupan kita akan berpandukan kepada cara hidup itu. Cara hidup ini meliputi kepercayaan keagamaan, jenis pekerjaan yang dipilih, hobi yang diminati, jumlah masa yang dihabiskan dengan insan lain, kehidupan berkeluarga mereka, dan kemungkinan juga cara seseorang itu melihat kehidupan dunia itu secara menyeluruh.


Cara hidup saya mudah sahaja iaitu saya mahu melakukan kerja yang saya suka, mempunyai harta yang sederhana atau cukup sahaja, berjalan waktu pagi atau petang di taman, banyak mengembara, bersikap positif terhadap kehidupan, mengutamakan konsep kerja keras, suka menulis mengenai kehidupan masyarakat, mempunyai satu dua kawan sejati, tidak mahu mengalami penyakit, duduk sambil menghirup kopi  dan menghormati semua pihak.


Itu cara hidup saya. Pembaca tidak semestinya meniru cara hidup saya kerana tidak ada cara hidup yang sesuai untuk semua pihak. Cara hidup ini boleh diumpamakan seperti resipi rahsia sesuatu makanan yang perlu dicuba sendiri oleh seseorang insan untuk mengetahui kenikmatan dan keserasian cara hidup itu. Apabila kita sudah mengalami lalu barulah kita boleh memilih cara hidup yang bersesuaian dengan diri. Kita boleh melakukan apa-apa yang kita suka tanpa perlu berasa malu atas pilihan itu. 


Kadangkala, saya berasa hairan kerana ada manusia sanggup berusaha mencari rekaan bentuk rumah dan peralatan di dalamnya dengan begitu rapi supaya kelihatan cantik tetapi kita jarang benar berusaha untuk merenung lalu mencari bentuk cara hidup yang membawa kebahagiaan kepada diri. Kita seharusnya mereka bentuk cara hidup kita bersesuaian dengan matlamat yang ingin kita capai dalam hidup. Kunci cara hidup ialah kita berasa gembira dengan kehidupan yang dipilih. Hati sendiri perlu gembira.


Saya sedar kadangkala pemilihan cara hidup ini boleh mencetuskan perbahasan antara insan. Namun, saya berpendapat kita perlu berundur daripada berbahas atas dasar mengkritik dengan tujuan memalukan orang lain. Sebaliknya, kita cuba mencari cara hidup yang kita sendiri suka kerana tujuan kita hidup ini adalah untuk menbentuk cara hidup yang kita mahu supaya hidup kita terus bahagia lalu kita memperoleh makna atau tujuan kita hidup di dunia ini. Kita kaji dan teliti kehidupan orang lain dari jauh dan membuat perubahan jika sesuai dengan cara hidup sendiri pula.


Kita cuba.

No comments:

Post a Comment

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...