The Alchemist .....konsep positif hakiki
Buku yang ditulis oleh Paulo Coelho ini merupakan salah satu buku yang menjadi kegemaran saya. Karya ini juga menjadikan saya meminati karya-karya beliau yang seterusnya. Novel ini mengisahkan kembara seorang gembala muda yang bernama Santiago. Dia dalam perjalanan menuju ke Piramid.
Perjalanan beliau pada awalnya berjalan lancar tetapi pelbagai cabaran dan kemelut muncul kemudiannya sehingga menduga keyakinan dirinya. Namun, watak utama novel ini berjaya mengharunginya bersama-sama dengan watak-watak sampingan yang membantunya. Namun, paling penting ialah pengalaman yang diterimanya sepanjang dia meneruskan kembara itu atau pengajaran setiap cabaran yang berlaku.
Jadi, kenapa saya mencadangkan pembaca membaca buku ini? Dalam situasi pandemik dan impak kehidupan yang berlaku saya berpendapat novel ini bagus untuk dibaca kerana mampu memberikan satu tujahan semangat kepada sesiapa sahaja untuk meneruskan kehidupannya. Kemelut yang melanda seperti banyak pihak dibuang kerja, banyak pekerja dikurangkan gaji, banyak kilang ditutup, banyak keluarga kehilangan orang tersayang, banyak pihak tidak boleh merayakan perayaan tertentu dan sebagainya. Malah, saya difahamkan buku ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu lalu saya yakin lebih banyak pihak mampu membacanya untuk memahami intipati novel ini.
Saya yakin pembaca sering dilemparkan pelbagai kata-kata seperti fikir positif apabila dibuang kerja atau anda pasti berjaya apabila syarikat memotong gaji dan sebagainya. Saya sedar konsep positif penting dalam kehidupan tetapi kadangkala konsep positif yang saya kategorikan sebagai mudah ini boleh menjadikan kehidupan lebih sukar sebenarnya. Golongan muda akan mudah terperangkap dalam kabus positif sebegini kerana mereka kurangan pengalaman erti kehidupan realiti.
Positif mudah ialah satu konsep pada pandangan saya yang membenarkan kita untuk berfikir positif atau yakin lalu menjadikan diri gembira dalam proses memperoleh sesuatu. Perkara yang dipentingkan dalam konsep ini ialah keyakinan bahawa perkara yang sepatutnya menjadi milik kita akan berjaya kita capai. Pegangan sebegini nampak menarik kerana mudah tetapi apabila berlakunya kegagalan akan membawa diri seseorang itu dipenuhi dengan penyesalan, dendam, dan kemungkinan rasa rendah diri yang mendalam. Kita harus sedar perkara yang HARUS/PATUT menjadi milik kita sebenarnya BELUM/MUNGKIN TIDAK AKAN lagi menjadi milik kita.
Saya mendidik pelajar dan golongan remaja dalam pendidikan serta penulisan. Saya sering beranggapan bahawa konsep positif yang terlalu mudah seperti di atas boleh menjejaskan keseimbangan dalam usaha membuat keputusan golongan muda itu. Kita semua didendangkan dengan ungkapan bahawa jika kita mahukan sesuatu pasti perkara itu akan berlaku. Namun, realitinya tidak semudah itu atau ABC. Kehidupan ini bukannya sesuatu yang selari tetapi penuh dengan rangkaian-rangkaian peristiwa yang kita sendiri sukar ramalkan.
Pada pandangan saya sebagai pendidik dan penulis, konsep positif hakiki ialah kita bukan sahaja perlu percaya akan diri tetapi harus mempunyai perancangan yang jelas lalu bersedia untuk menghadapi kesukaran dalam proses mencapai sesuatu itu. Dalam proses usaha itu pastinya diri akan mengalami ketidakyakinan lalu diri perlu selalu berfikir dan menerima kekurangan diri itu serta berubah segera untuk mengatasi kelemahan tersebut. Ini konsep positif yang saya tekankan dalam diri saya dan pelajar saya sama ada mereka sedar atau tidak. Kita sedar masalah yang dihadapi lalu merancang kaedah penyelesaiannya mengikut kelebihan dan kekurangan diri lalu berusaha untuk satu tempoh tertentu supaya masalah atau perkara itu mampu diatasi dan diperoleh pula.
Dalam novel ini, Coelho cuba mengetengahkan konsep positif yang berasaskan realiti dengan memaksa Santiago untuk mengharungi cabaran yang berlaku secara nyata sebelum mencapai kejayaan yang diidamkannya. Kalau pembaca baca novel ini, semua cabaran yang dihadapi oleh Santiago dihadapinya dengan perlahan tetapi penuh dengan tindakan yang benar-benar dimaksudkannya. Dia cuba seimbangkan perkara yang diingini dengan perkara realiti yang berlaku di depan mata. Apabila berlaku perkara yang tidak diundang, Santiago cuba menggunakan persoalan dan ketidakyakinan dirinya untuk mengatasi perkara itu. Amalan sebegini membolehkan beliau mengatasi kemelut yang melanda. Ringkasnya, Santiago menghadapi setiap cabaran mengikut keperluan semasa yang berlaku.
Sememangnya, semua yang berlaku kepada Santiago merupakan fantasi Coelho tetapi kaedah yang digunakan oleh Santiago untuk mengharunginya pada pandangan saya boleh memberikan satu pengajaran realiti kehidupan kepada pembaca semua. Peribahasa tiada rotan, akar pun berguna mungkin boleh memberi satu perspektif kepada pembaca apabila dilanda sesuatu cabaran itu. Kita semua mahu meneruskan kehidupan ini dengan cara kita sendiri.
Jadi, baca novel ini jika anda mempunyai masa.
No comments:
Post a Comment