Tuesday, June 22, 2021

Kita perlu buat sesuatu apabila dilanda masalah

Cara selesaikan masalah? Buat sesuatu


Suatu masa dahulu, saya ada seorang pelajar yang menyertai kelas penulisan saya yang tidak tahu menulis  lalu saya berkata kepada, “Jika anda ada masalah, jangan duduk termenung sahaja tetapi fikirkan masalah itu dan kemudian cuba selesaikan walaupun anda tidak tahu menulis tetapi sikap cuba menulis sesuatu itu akhirnya akan memberikan satu idea kepada anda nanti.” Itulah nasihat saya kepadanya.


Kini, dia sudah berjaya. Dia mempunyai kelayakan universiti dan pekerjaan yang baik jika saya melihat ke arah keretanya yang besar dan berwarna biru muda itu. Lambang BMW yang menonjol tertera sekaligus menarik perhatian orang yang lalu-lalang di kawasan tersebut. Semua orang suka kereta berjenama mahal.


“Boss, saya masih ingat kata-kata boss dalam kelas penulisan itu,” katanya sambil menghirup secawan kopi pahit yang dipesannya sebentar tadi. Dia memang suka memanggil saya dengan panggilan boss (walaupun saya BUKAN boss). Telefon bimbit yang berjenama terkenal turut diletakkan di atas meja di hadapan saya. Telefon itu jauh lebih menarik berbanding telefon lama di poket seluar saya itu. Saya mengangguk-angguk sahaja kerana secara jujur saya tidak pasti kata-kata mana yang dirujuk olehnya itu. Raut wajah insan di depan ini penuh dengan senyuman yang seolah-olah melambangkan kepuasan yang dialami dalam kehidupannya kini.


“Kata-kata itu sudah menjadi tangkal kepada saya setiap kali saya ada masalah,” ujarnya dengan penuh kesungguhan. “Boss kata, jangan duduk sahaja. Buat sesuatu. Jawapannya akan muncul kemudian,” tambahnya dengan penuh semangat. Kali ini kata-kata itu menyebabkan saya mengimbau kenangan bersama-sama lelaki dewasa ini di dalam kelas itu beberapa tahun lalu.


Sebenarnya, banyak daripada kita lupa bahawa tindakan melakukan sesuatu bukanlah kesan daripada sesuatu motivasi itu tetapi tindakan itulah yang menyebabkan motivasi berlaku. Apabila kita menghadapai masalah kita perlu melakukan sesuatu. Apa-apa tindakan pun kerana sikap berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku. Mungkin tindakan keluar dari rumah atau menelefon rakan akan memberikan idea untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Namun, sikap duduk diam tidak akan memberikan apa-apa melainkan kita duduk diam memikirkan sesuatu. Itu juga bermakna kita sedang melakukan sesuatu tindakan.


Banyak daripada kita hanya melakukan sesuatu apabila kita mempunyai tahap motivasi tertentu untuk membuatnya. Kita selalu beranggapan bahawa motivasi itu akan hanya berlaku apabila wujudnya inspirasi dalam bentuk emosi yang cukup banyak kerana tanggapan kita sebenarnya salah. Maksud saya kita beranggapan inspirasi yang berunsurkan emosi akan menghasilkan motivasi dan motivasi akan menghasilkan sesuatu tindakan.


(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku).


Namun, pandangan saya konsep motivasi di atas adalah tidak benar. Motivasi bukanlah sesuatu yang bersifat selari sahaja tetapi motivasi itu sebenarnya berlaku dalam satu pusingan yang lebih besar. Maksud saya inspirasi emosi akan menghasilkan motivasi lalu membawa berlakunya sesuatu tindakan dan tindakan ini menghasilkan inspirasi emosi semula lalu membawa berlakunya motivasi lagi serta menghasilkan tindakan seterusnya.


(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku lalu membawa inspirasi emosi dan motivasi serta tindakan berlaku semua).


Setiap pagi saya akan menghabiskan satu tempoh masa sekitar 20-30 minit untuk menaip. Kadangkala perkara yang saya taipkan itu tiada kaitan dengan apa-apa projek penulisan yang sedang saya usahakan tetapi ini maksud saya tadi bahawa sebarang tindakan menaip yang saya lakukan itu pastinya akan memberikan satu sumber inspirasi atau idea atau lonjakan untuk melakukan sesuatu pula kemudian nanti.


Jadi, pembaca yang memahami konsep ini akan setuju bahawa tindakan menghasilkan inspirasi emosi yang akan membawa berlakunya motivasi diri. Jika anda berasa kurang motivasi untuk melakukan perubahan dalam hidup anda, cuba lakukan sesuatu - apa-apa sahaja untuk menggunakan hasil tindakan itu menjadi perkara yang boleh memberikan motivasi kepada diri anda nanti.


Sikap melakukan sesuatu apabila menghadapi masalah merupakan satu langkah yang mudah. Apabila anda berada dalam sesuatu masalah cuba buat sesuatu tindakan. Kemungkinan idea yang dilakukan itu boleh menyelesaikan sebahagian daripada masalah dan kemungkinan juga tidak tetapi yang penting di sini ialah anda berusaha untuk menyelesaikannya. Penting di sini anda mempunyai tapak untuk melakukan satu tindakan yang akan memberikan impak terhadap masalah anda itu.


Ringkasnya, kita semua boleh menjadi sumber inspirasi tersebut. Kita semua boleh menjadi sumber motivasi itu. Tindakan untuk mencapainya merupakan sesuatu yang boleh dijangkau oleh setiap insan di dunia ini. Hanya berbekalkan satu tindakan mudah melakukan sesuatu sahaja boleh menjadi kayu pengukur kejayaan dalam kehidupan seseorang itu. Anda hanya perlu BUAT sahaja.

Monday, June 14, 2021

Kita perlu menilai diri sendiri lebih baik...itu penting

Nilaikan diri sendiri dengan lebih baik


Pernah suatu ketika saya sedang berhadapan dengan berpuluh-puluh remaja yang baru sahaja menamatkan persekolahan mereka. Saya diminta untuk memberi ceramah mengenai masa depan kerjaya yang bakal mereka hadapi. Rata-rata mereka ini tidak memahami betapa besarnya cabaran di luar sama yang jauh berbeza daripada layanan indah ibu bapa dan guru-guru mereka itu. Semua mata memandang ke arah saya yang berdiri di atas pentas sambil memegang sekeping wang kertas bernilai RM50.


“Siapa mahu wang kertas RM50 ini?” Cabar saya kepada semua yang hadir. Sememangnya sesuatu yang tidak mengejutkan bahawa hampir semua yang ada di dalam dewan itu terus mengangkat tangan mereka sambil tersenyum.  Dua tiga orang menjerit ke arah saya agar memberi mereka wang itu. Mungkin mereka cuba menduga penceramah tua ini agaknya.


Saya melipat-lipat wang kertas itu menjadi kecil lalu membalingnya ke atas pentas sebelum mengutipnya semula dan mempamerkannya kepada semua dengan pertanyaan yang serupa seperti awal tadi. Saya menunggu jawapan mereka. Semuanya memberikan jawapan yang serupa. Masih banyak yang mengangkat tangannya tanda masih rela untuk menerima wang itu walaupun sudah teruk keadaannya dan dibaling ke pentas. Nampaknya remaja memang menghargai wang kertas.


Nafas panjang saya lepaskan. Kemudian berjalan lebih dekat ke arah tepi pentas. Kali ini, saya membaling wang itu ke atas lantai sambil mencurahkan air botol ke arahnya. Saya menanyakan soalan yang serupa dan masih ramai yang terus meminat untuk memiliki wang kertas itu. “Anda semua mahukan wang kertas ini walaupun sedar sudah beberapa kali saya memijak dan membuangnya. Kamu semua memilih untuk mendapatkan wang ini kerana nilai wang ini tidak jatuh walaupun saya sudah melipat dan menggulungnya beberapa kali sebelum memijaknya.” Kata-kata itu membuatkan beberapa remaja yang ada mula berfikir sejenak. Mereka mula memahami tujuan saya melakukan adegan itu tadi. Suasana dewan benar-benar sunyi.


Dalam hidup ini kita seharusnya menilai diri sendiri lebih baik atau lebih tinggi daripada tanggapan orang lain walaupun hidup kita dilanda pelbagai masalah dan cabaran yang memeritkan jiwa. Kita semua hendaklah percaya akan kerja keras yang diperlukan untuk mencapai sesuatu dalam hidup. Kita perlu menilai diri sendiri lebih baik walaupun hidup kita tidak sempurna atau mengalami kegagalan demi kegagalan kerana kita semua boleh melihat betapa wang kertas RM50 yang dipijak dan dilipat serta digulung beberapa kali itu masih terus dihargai oleh manusia kerana walaupun bentuknya sudah sedikit berbeza tetapi nilai yang ada pada wang kertas itu tetap sama iaitu nilai yang amat dihargai oleh manusia sejagat.


Mungkin kita semua perlu menjadi seperti sehelai wang kertas RM50 kerana diri manusia yang paling berharga ialah nilai dirinya.

Tuesday, June 8, 2021

Masih enggan berubah? Baca kisah Gajah dan talinya

Salah satu cerita yang sering saya kisahkan kepada pelajar saya di kelas dan seminar ialah kisah gajah yang diikat kakinya. Kisah ini mengaitkan  saya tentang sikap manusia yang sudah biasa atau mempunyai satu set pemikiran bahawa hidup mereka sememangnya begitu atau mereka enggan berusaha kerana sudah pernah menemukan kegagalan dahulu.


Kisahnya begini. Suatu masa dahulu di sebuah negara yang terkenal dengan mempunyai kumpulan gajah yang banyak. Kelihatan seorang pengembara yang melalui kawasan istana di negara itu setelah berbulan-bulan mengembara. Pengembara itu mendekati sekumpulan gajah yang kakinya diikat dengan seutas tali yang jauh lebih kecil daripada kaki haiwan gergasi itu. Rasa hairan dan curiga bermain-main dalam minda pengembara yang separuh keletihan itu.


“Kenapakah gajah yang begitu besar ini tidak mahu melepaskan diri mereka? Diam-diam pengembara itu bercakap di dalam hatinya. Dia menolah ke kiri dan ke kanan untuk mencari seseorang. Matanya terpandang kepada seorang pengawal istana di hujung istana tersebut. Sambil melangkah ke arah pengawal itu, pengembara tadi sempat menoleh sejenak ke belakang untuk memastikan si gajah itu tidak mengekorinya. Rasa takut masih wujud dalam dirinya apabila berhadapan dengan haiwan gergasi itu.


“Saya berasa hairan kerana gajah itu tidak sedikit pun berusaha untuk melepaskan dirinya?” kata pengembara kepada pengawal tersebut. Pengawal itu menjawab sambil tersenyum, “ Sejak kecil lagi kami sudah mengikat gajah itu dengan saiz tali yang serupa. Lama-kelamaan mereka sudah biasa. Tali yang kecil itu sudah cukup untuk menghalang mereka melarikan diri’.


Gajah itu melihat tali yang diikat pada kaki mereka itu sudah cukup kuat kerana mereka sudah biasa diikat begitu sejak kecil. Sama juga dengan kita sebagai manusia yang tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri kerana dalam minda sendiri sudah wujud satu konsep bahawa kita tidak perlu berusaha kerana sudah biasa menerima kegagalan atau mempercayai diri sendiri akan mengalami kegagalan jika melakukan sesuatu yang berbeza.


Pengembara meneruskan perjalanannya tetapi sekali-sekali masih menoleh kerana berasa kasihan melihat nasib gajah yang terpaksa akur dengan seutas tali kecil itu. Alangkah baiknya jika gajah itu berusaha sedikit sahaja pastinya tali itu akan terputus dengan mudah. Pastinya hidup gajah itu jauh lebih baik daripada berdiri di tepi istana itu.

Sunday, June 6, 2021

Anda serasi dengan kerja dan syarikat?

Anda dan kerja sehati sejiwa? Lihat tanda-tanda ini


Banyak orang melalui kehidupan kerjaya mereka seperti orang lain. Mereka menamatkan pengajian di sekolah rendah dan menengah kemudian memasuki kolej dan unievsriti sebelum memulakan kerjaya di sebuah syarikat atau institusi dengan penuh semangat. Kehidupan yang penuh dengan cabaran itu menyebabkan kadangkala kita sendiri berasa sukar untuk memilih kerjaya yang benar-benar memenuhi impian seseorang itu.


Saya tahu perasaan ini kerana saya sendiri seorang yang idealis. Saya juga pernah muda suatu masa dahulu. Saya juga pernah berjaya dan gagal suatu masa Dahulu. Namun, setelah memulakan kerjaya di sebuah syarikat akhbar tempatan dan kemudian memasuki sebuah insitusi pendidikan tinggi. Permulaan kerjaya sebagai penulis dan pendidik juga telah membuka mata saya tentang erti kerjaya yang sebenar. Saya mula menyedari bahawa ada kerjaya yang tidak akan berjaya memenuhi kehendak diri sendiri. Saya yakin ada pelajar saya dan mungkin pelanggan saya  yang di luar sana yang turut berasakan perkara yang serupa iaitu seolah-olah melihat kerjaya yang ada Sekarang hanya memenuhi keperluan kewangan sahaja lalu tidak memenuhi jiwa mereka.


Jadi, apabila ada bekas pelajar dan pelanggan saya meluahkan rasa tidak gembira mereka di pejabat, saya mula meneroka beberapa perkara yang pada pandangan saya akan memberikan seseorang itu tanda-tanda sama ada kerjaya atau syarikat itu bersesuaian dengan mereka atau tidak.


Pertama, adakah matlamat syarikat bersesuaian dengan jiwa anda? Adakah anda berasa mempunyai keseraian dengan matlamat syarikat. Jika tidak maka sudah pasti anda perlu melakukan sesuatu perubahan iaitu mencari kerja lain. Saya masih ingat lagi ketika saya bekerja dengan sebuah syarikat akhbar. Perasaan tidak keserasian itu timbul apabila saya ditugaskan untuk membuat satu tugasan di Kuala Lumpur tetapi berita saya itu tidak disiarkan dengan alasan yang tidak munasabah. Perasaan itu saya biarkan sahaja pada awalnya. Lama-kelamaan, perasaan untuk bekerja sudah mula hilang tanpa disedari kerana saya mula nampak perbezaan antara syarikat dan diri sendiri yang berbeza. Betul faktor gaji turut memainkan peranan tetapi jika tidak wujud nilai tambah yang boleh memberikan kesejahteraan kepada diri sendiri, maknanya syarikat dan diri tiada lagi persamaan yang serupa yang boleh dikongsi bersama-sama.


Kedua, apabila bercakap mengenai kerjaya itu tidak ada perasaan bersemangat atau berkobar-kobar kepada orang lain. Bayangkan jika ada orang bertanyakan kepada anda tentang kerja anda, adakah anda akan bersemangat untuk menerangkannya? Adakah wajah anda akan berseri-seri untuk memberitahunya? Adakah penerangan anda mengenai kerjaya anda itu akan berjalan panjang lebar sehingga tetamu anda pula yang tersipu-sipu cuba menamatkan pertanyaan mereka itu? Semangat tentang kerja merupakan satu bahan perencah yang penting untuk seseorang memahami sama ada kerja dan syarikat itu benar-benar bersesuaian dengan diri seseorang.


Semua orang pasti ada rasa sedih dan suka dalam kerjaya mereka. Itu lumrah hidup dewasa atau bekerja. Namun, jika persoalan mengenai kewujudan anda di sebuah syarikat itu berlanjutan berminggu-minggu dan kemudian berbulan-bulan pastinya kita perlu menilai persoalan tersebut secara objektif. Cuba perlahan-lahan menilai dan merenung realiti hidup yang dialami oleh diri sendiri yang sebenar. Mungkin, anda ditakdirkan untuk sesuatu yang lebih baik seperti memulakan perniagaan sendiri atau menjadi penyanyi atau membuka bengkel membaiki kenderaan dan sebagainya.


Persoalan terakhir yang saya temui dalam kemelut ini ialah adakah diri kita selalu berangan-angan hidup dalam kehidupan yang lain. Saya sering membayangkan diri saya menulis ketika duduk di kafe sambil menghirup kopi lalu pelbagai idea jatuh satu demi satu daripada siling kafe itu. Ya, saya sering berangan-angan sedemikian. Jika jawapannya ialah ya maka sudah pasti anda perlu menilai semula matlamat hidup anda sendiri. Semua orang mesti ada fantasi kehidupan mereka yang tersendiri lalu jika kita sering berangan-angan tentang satu kehidupan lain maka itulah tandanya. 


Baiklah, katakan anda sudah menjawab keempat-empat persoalan tadi. Jadi, sekarang apakah yang perlu dilakukan? Hantar surat letak jawatan? Tidak. Anda seharusnya menilai kehidupan kerjaya anda. Pecah-pecahkan matlamat-matlamat dalam kehidupan anda itu kepada beberapa pertanyaan kecil di dalam hati.


  • Apakah matlamat hidup anada yang sebenarnya?
  • Apakah perkara yang paling anda hendak capai dalam hidup ini?
  • Adakah anda boleh mencapai matlamat itu dalam tempoh 6 atau 12 buland ari sekarang?
  • Adakah anda masih mahu meneruskan kerjaya di syarikat itu bulan ini dan depan?
  • Adakah keluarga anda memahami situasi anda?
  • Bagaimanakah dengan kekukuhan kewangan anda dan keluarga?
  • Bagaimanakah anda hendak memulakan perubahan itu?


Semua tindakan yang anda ambil akan membawa diri anda ke arah mencapai matlamat yang didiamkan sedikit demi sedikit. Namun, penyelidikan perlu dilakukan terutama terhadap matlamat yang hendak anda capai.


Mungkin anda bertanya sama ada saya sudah mencapai matlamat hidup yang saya mahukan? Jawapannya sudah tetapi belum sepenuhnya kerana kerja menulis masih belum berupaya untuk memberikan satu sumber kewangan yang stabil buat saya. Membuat kelas untuk pelajar, membuat seminar untuk pelanggan dan menulis sudah cukup memberikan saya satu kegembiraan yang berpanjangan. Saya masih ceria menaiki LRT untuk menjalankan tugas sebagai seorang pekerja. Saya masih mendengar muzik sambil melihat gereabak LRT bergerak perlahan-lahan meninggalkan destinasi. Saya masih ceria menerima pertanyaan pelajar dan pelanggan tentang sesuatu. Dan saya juga masih bersemangat untuk menulis dan menulis.


Sebagai manusia kita perlu hidup dengan melakukan kerjaya yang kita mahukan Tetapi saya percaya amalan ini memerlukan ketabahan dan kegigihan yang tinggi Tetapi percayalah ini akan menjadi satu lorong perjalanan hidup yang pasti anda hargai sepanjang hidup anda nanti.


Wednesday, June 2, 2021

Saya memilih minda berubah-ubah

Saya meminati sebuah  buku yang ditulis oleh Carol Dweck yang bertajuk Mindset: The New Psychology of Success. Beliau merupakan sebuah pengkaji yang terkemuka dalam bidang pemikiran dan impak pemikiran terhadap aspek kehidupan manusia itu. Pensyarah dari Universiti Stanford ini berpendapat dalam bukunya bahawa kejayaan yang ingin dicapai oleh seseorang itu banyak bergantung kepada dua jenis pemikiran (mindset), minda yang tetap dan minda yang berubah-ubah (saya terjemah secara terus daripada fixed mindset dan growth mindset)


Apabil saya menelaah buku ini, saya berpendapat beliau telah berjaya menghuraikan beberapa konsep yang tanpa saya sedari turut saya amalkan dalam kehidupan. Pada saya, semua pelajar saya boleh berjaya dalam peperiksaan walaupun mereka sebelum ini tidaklah merupakan pelajar yang cemerlang. Mereka hanya memerlukan bantuan guru, sokongan ibu bapa dan kemungkinan beberapa kaedah belajar yang bersesuaian dengan diri mereka. Namun, sebelum saya berceloteh lebih lanjut elok saya jelaskan maksud kedua-dua minda ini. 


Pertama, minda yang tetap. Golongan manusia yang mempunyai minda yang tetap beranggapan bahawa seseorang itu sama ada mempunyai kemampuan untuk mempelajari sesuatu atau tidak. Golongan ini melihat kemampuan untuk belajar perkara baharu hanya akan ditentukan oleh satu perkara sahaja iaitu mereka berjaya lakukan atau tidak. Ringkasnya, jika mereka gagal untuk mempelajari sesuatu, jawapan mudah golongan sebegini ialah diri sendiri tidak mempunyai kemampuan atau bakat dalam bidang itu. Sudah pasti konsep berusaha atau memperbaiki diri tidak akan wujud dalam konsep minda sebegini.


Manakala, minda berubah-ubah pula lebih ke arah perubahan dalam menguasai sesuatu kemahiran tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang itu gagal untuk menguasai sesuatu seperti mahir dalam pertukangan, mereka akan melihat kaedah yang digunakan sebelum ini lalu mengubah kaedah pembelajaran yang gagal itu menjadi proses yang berbeza pula. Ringkasnya, golongan yang mempunyai minda berubah-ubah ini akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam menguasai sesuatu kemahiran itu.


Saya yakin, pembaca sudah memahami dua konsep minda yang diperkenalkan oleh Carol Dweck ini. Saya melihat minda berubah-ubah itu sebagai satu jenis minda yang perlu kita kuasai. Kita hendaklah berusaha mempelajari sesuatu dan kegagalan menguasainya perlulah dilihat daripada perspektif yang berbeza supaya jalan penyelesaian boleh dicapai pula. Sebagai contoh jika kita gagal memperoleh sesuatu kejayaan dalam perniagaan itu, minda yang berubah-ubah akan cuba membawa seseorang itu melihat kemungkinan-kemungkinan kesilapan yang dilakukan lalu berusaha mencari jalan lain yang boleh menjadikan usaha perniagaan itu berjaya pula.


Golongan yang mempunyai minda tetap pula akan melihat kegagalan mereka dalam menguruskan perniagaan itu sebagai mengesahkan bahawa mereka tidak kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berkaliber. Mereka akan berhenti dan melakukan perkara lain yang tiada kaitan dengan menguruskan perniagaan itu. Kalau kita lihat kedua-dua konsep minda ini sudah pasti minda berubah-ubah sebagai pilihan utama masyarakat terutama generasi muda kerana jika mereka mempunyai minda sbegeini pastinya banyak kejayaan bakal diperoleh pada masa depan.


Bagaimana dengan anda? Minda mana yang anda mahukan?

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...