Nilaikan diri sendiri dengan lebih baik
Pernah suatu ketika saya sedang berhadapan dengan berpuluh-puluh remaja yang baru sahaja menamatkan persekolahan mereka. Saya diminta untuk memberi ceramah mengenai masa depan kerjaya yang bakal mereka hadapi. Rata-rata mereka ini tidak memahami betapa besarnya cabaran di luar sama yang jauh berbeza daripada layanan indah ibu bapa dan guru-guru mereka itu. Semua mata memandang ke arah saya yang berdiri di atas pentas sambil memegang sekeping wang kertas bernilai RM50.
“Siapa mahu wang kertas RM50 ini?” Cabar saya kepada semua yang hadir. Sememangnya sesuatu yang tidak mengejutkan bahawa hampir semua yang ada di dalam dewan itu terus mengangkat tangan mereka sambil tersenyum. Dua tiga orang menjerit ke arah saya agar memberi mereka wang itu. Mungkin mereka cuba menduga penceramah tua ini agaknya.
Saya melipat-lipat wang kertas itu menjadi kecil lalu membalingnya ke atas pentas sebelum mengutipnya semula dan mempamerkannya kepada semua dengan pertanyaan yang serupa seperti awal tadi. Saya menunggu jawapan mereka. Semuanya memberikan jawapan yang serupa. Masih banyak yang mengangkat tangannya tanda masih rela untuk menerima wang itu walaupun sudah teruk keadaannya dan dibaling ke pentas. Nampaknya remaja memang menghargai wang kertas.
Nafas panjang saya lepaskan. Kemudian berjalan lebih dekat ke arah tepi pentas. Kali ini, saya membaling wang itu ke atas lantai sambil mencurahkan air botol ke arahnya. Saya menanyakan soalan yang serupa dan masih ramai yang terus meminat untuk memiliki wang kertas itu. “Anda semua mahukan wang kertas ini walaupun sedar sudah beberapa kali saya memijak dan membuangnya. Kamu semua memilih untuk mendapatkan wang ini kerana nilai wang ini tidak jatuh walaupun saya sudah melipat dan menggulungnya beberapa kali sebelum memijaknya.” Kata-kata itu membuatkan beberapa remaja yang ada mula berfikir sejenak. Mereka mula memahami tujuan saya melakukan adegan itu tadi. Suasana dewan benar-benar sunyi.
Dalam hidup ini kita seharusnya menilai diri sendiri lebih baik atau lebih tinggi daripada tanggapan orang lain walaupun hidup kita dilanda pelbagai masalah dan cabaran yang memeritkan jiwa. Kita semua hendaklah percaya akan kerja keras yang diperlukan untuk mencapai sesuatu dalam hidup. Kita perlu menilai diri sendiri lebih baik walaupun hidup kita tidak sempurna atau mengalami kegagalan demi kegagalan kerana kita semua boleh melihat betapa wang kertas RM50 yang dipijak dan dilipat serta digulung beberapa kali itu masih terus dihargai oleh manusia kerana walaupun bentuknya sudah sedikit berbeza tetapi nilai yang ada pada wang kertas itu tetap sama iaitu nilai yang amat dihargai oleh manusia sejagat.
Mungkin kita semua perlu menjadi seperti sehelai wang kertas RM50 kerana diri manusia yang paling berharga ialah nilai dirinya.
No comments:
Post a Comment