Monday, August 9, 2021

Cara kita memilih pemimpin?

Malaysia dan sikap ahli politiknya…salah siapa?


Suasana yang berlaku di Parlimen pada dua minggu lalu sememangnya sesuatu yang mengejutkan kerana kita secara langsung boleh melihat kelakuan sebenar ahli parlimen yang dilantik oleh kita sebagai rakyat Malaysia itu. Sememangnya, kita yang mengundi untuk memilih mereka ini. Kita yang memangkah mereka ini lalu secara tidak langsung kita sebagai rakyat termasuklah diri saya sendiri memikul tanggungjawab atas kemelut yang melanda negara kerana kita sendiri yang memilih mereka ini tanpa paksaan untuk menjadi wakil dalam pemerintahan negara. Ya ada pihak akan menggunakan konsep kerajaan pintu belakang untuk menolak hujah ini tapi kita juga yang melantik mereka sebagai wakil rakyat kita ketika pilihan raya yang lalu. Jadi inilah kualiti yang kita terima.


Ada ahli parlimen yang ketika berbahas sanggup mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan kepada wakil yang lain. Ada wakil rakyat ini yang sanggup menganggu apabila ada wakil lain sedang membahaskan sesuatu. Ada juga wakil lain yang mengejek ketika ada rakan mereka sedang menjelaskan sesuatu perkara. Ada juga wakil yang tanpa segan silu mencelah pembentangan wakil lain tanpa memberitahu secara hormat. Ada juga ahli parlimen yang hanya berani bersuara dalam media sosial tetapi di dalam dewan senyap sunyi. Semua ini berlaku ketika Malaysia sering memberitahu orang luar bahawa kita terkenal dengan kesopanan yang tinggi.


Ada juga ahli parlimen yang tidak berani untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh rakan mereka yang lain. Ada juga wakil rakyat ini yang tidak mempunyai jawapan yang memuaskan apabila ditanya mengenai program-program untuk rakyat. Ada juga wakil ini yang terpaksa meminta tempoh yang lama untuk menjawab pertanyaan walaupun perkara itu perkara penting. Ada juga wakil yang tidak tahu cara untuk membentangkan tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh mereka sebagai pemimpin yang diberikan tanggungjawab itu. Malah, ada juga ahli parlimen ini berbahas seolah-olah mereka berbahas di peringkat sekolah pula. Semua ini berlaku ketika ahli parlimen ini diberi pelbagai ganjaran kewangan yang mencecah ribuan ringgit sedangkan rakyat biasa hidup dengan gaji yang jauh lebih rendah tetapi terpaksa bekerja keras.


Semuanya ini kemudiannya menjadi satu perbahasan hangat kerana keliru dengan tindakan pihak kerajaan untuk tidak membahaskan rang undang-undang yang diluluskan ketika darurat berlaku itu. Tindakan ini menyebabkan DYMM Agong sendiri berasa tidak senang sehingga terpaksa mengeluarkan titah baginda pula. Tindakan DYMM Agong ini membuktikan betapa seriusnya masalah yang melanda itu. Kemudian tunjuk perasaan ahli politik pembangkang pula berlaku. Kemudian satu demi satu sidang akhbar berlaku yang menyaksikan setiap pihak cuba membuktikan betapa ramainya ahli parlimen menyokong mereka. Pengumuman peletakkan jawatan menteri tertentu mula kedengaran yang turut menjadikan suasana politik semakin berkecamuk. Namun, keadaan masih serupa tanpa sebarang keputusan malah saya berpendapat situasi politik negara yang tidak stabil ini secara tidak langsung turut menjejaskan usaha untuk memerangi Covid-19 yang begitu meluas itu. Lihat sahaja angka harian jumlah pesakit Covid-19 itu, menakutkan.


Hujah saya bukankah Parlimen berfungsi untuk semua ahli parlimen berhujah tentang sesuatu isu yang berkepentingan umum. Ahli parlimen seharusnya menjawab semua pertanyaan rakan mereka dengan hujah yang betul bersama-sama data yang tepat dan penerangan yang menyakinkan. Mereka seharusnya bersedia untuk memberikan penjelasan dan bukannya berdiam diri atau membiarkan sahaja sesuatu pertanyaan dalam dewan itu.  Atau meminta tempoh untuk menjawab tindakan mereka itu kerana jika mereka sudah melakukannya maka sudah pasti mereka telah membuat perancangan yang mendalam pula. Mereka mempunyai pembantu-pembantu yang berkemahiran untuk memikirkan semua kemungkinan yang bakal berlaku.


Akibatnya negara terus menderita. Polemik pandemik yang melanda telah menyebabkan jutaan rakyat kehilangan atau terjejas sumber pendapatan mereka. Pengangguran sudah menjadi sesuatu yang lumrah. Pendidikan generasi muda di sekolah dan universiti turut terjejas walaupun ada pihak yang beranggapan pendekatan pengajian online mampu membantu. Kadar jangkitan pandemik yang tinggi dan angka kematian yang banyak terus berlaku seolah-olah tiada penghujungnya. Pada masa yang sama, ahli parlimen yang kita pilih itu terus bertikam lidah tanpa kesudahan pula kerana masing-masing mahu mempertahankan kedudukan mereka sahaja kerana dalam minda mereka diri mereka lebih penting berbanding rakyat biasa. Atau mereka berpendapat pandangan mereka sahaja betul? Tindakan “lockdown” yang panjang dan berkali-kali pula telah menyebabkan banyak rakyat tidak mempunyai sumber pendapatan lagi tetapi kadar jangkitan virus terus bertambah.


Hujah kedua sekarang ialah mengapakah kita terus menerima ahli parlimen yang sudah lama memegang jawatan mereka tanpa memberikan sebarang kebaikan kepada rakyat? Jawapannya mudah kerana kita sebagai rakyat enggan menggunakan minda secara objektif untuk memilih pemimpin yang betul. Kita harus bijak mengenal diri pemimpin itu. Kita harus peka menilai seseorang atas kemampuan diri mereka dan bukannya atas sebab yang lain. Kita harus membuka mata agar melihat dengan sendiri kemampuan orang yang akan kita pilih itu. Jika mereka mampu mengumpulkan harta yang begitu banyak dalam tempoh yang singkat sudah pasti sesuatu yang tidak betul sedang berlaku kerana walaupun gaji sebagai wakil rakyat memang banyak tetapi dalam tempoh empat tahun saya yakin wang gaji itu tidak mampu untuk membeli banglo dan kereta mewah yang begitu banyak. Persoalan cara mereka memperoleh wang atau mengumpul harta yang banyak dalam tempoh yang singkat itu harus ditanya oleh setiap rakyat tetapi kita semua enggan melakukannya.


Pada masa yang sama, pemimpin negara ini juga sudah masak dengan rakyat kerana mereka sedar rakyat akan lupa semua kesilapan mereka dan akan terus mengundi mereka. Beberapa kali pilihan raya yang berlaku telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin yang kecoh dengan sesuatu isu itu akan terus dipilih oleh rakyat. Pemimpin-pemimpin negara ini sedar rakyat sendiri tidak berani untuk mengeluarkan atau tidak mengundi mereka walaupun pelbagai isu negatif yang melibatkan diri mereka telah berlaku. Mereka sedar kita sebagai rakyat sebelum ini tidak mahu mendengar penjelasan yang mendalam tentang sesuatu isu sekadar memberikan jawapan tidak tahu sahaja dalam sidang akhbar dan kekecohan itu akan berakhir tidak lama lagi. Penjelasan ala kadar sudah cukup untuk rakyat pada pandangan ahli parlimen ini. Rakyat seharusnya menuntut penjelasan yang panjang lebar, teliti, benar dan telus untuk setiap tindakan yang diambil oleh wakil rakyat mereka itu.


Kita harus melihat cara pemimpin luar negara dilayan oleh rakyat sesebuah negara lain itu lalu cuba mengubah suai dengan situasi tempatan pula. Lihat sahaja negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara Eropah yang tanpa segan silu membawa pemimpin mereka yang melakukan kesilapan ke muka pengadilan berasaskan prinsip perundangan negara. Salah tetap salah terutama kesalahan besar seperti rasuah, pembunuhan, penculikan, dan penyalahgunaan kuasa. Negara kita berbeza kerana rakyat biasa melakukan kesilapan terus dihukum tetapi pemimpin dan artis melakukan kesilapan pelbagai siasatan akan dilakukan yang memakan masa berbulan-bulan lalu kesilapan itu akan hilang ditelan zaman. Jika denda dikenakan pula jumlahnya begitu kecil kerana sumber kewangan golongan ini begitu banyak berbanding rakyat biasa lalu jumlah denda yang dikenakan tidak memberi kesan kepada golongan politik ini. Anehnya, rakyat biasa yang dibawa ke mahkamah siap dengan pakaian mahkamah dengan muka mereka tunduk ke bawah tetapi ahli politik ini boleh datang dengan pakaian yang bergaya dan iringan rombongan pengikut yang begitu ramai umpama pesta pula. Tidakkah kita berasa janggal dengan fenomena sebegini? Atau kita sebagai rakyat juga sudah menerima budaya yang tidak benar ini?


Kita harus memilih pemimpin yang sanggup bekerja untuk rakyat dan bukannya rakyat bekerja untuk mereka. Kita harus memilih pemimpin yang mempunyai pelbagai idea untuk membantu rakyat ketika kesukaran dan bukannya rakyat yang memberikan idea untuk membantu mereka sendiri pula. Kita harus memilih pemimpin yang sanggup berkorban untuk rakyat dan bukannya pemimpin yang menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk mengaut keuntungan peribadi sehingga boleh membeli berpuluh-puluh rumah banglo dan menayangkan kereta mewah mereka itu dalam media sosial lalu meminta rakyat supaya bekerja keras dan tidak malas dalam kehidupan ini. Kita harus memilih pemimpin yang muda, berkebolehan, berpendidikan tinggi dan kreatif serta mahu bekerja sebagai wakil rakyat pada masa depan. Jika pemimpin muda ini juga kemudiannya bertukar menjadi pemimpin era lama pastinya mereka juga boleh ditukar dengan individu lain menerusi proses pilihan raya.


Usahlah kita memilih pemimpin yang sudah tua dan tidak mempunyai kemahiran kecuali kemahiran berjanji dan berjanji sahaja serta mengeluarkan kenyataan yang tidak berfaedah tetapi melambangkan ketumpulan minda mereka tanpa berani mengambil tindakan drastik untuk kebajikan rakyat kerana kalau kita silap memilih lagi rakyat dan negara ini akan terus menderita untuk satu tempoh yang panjang. Namun, buat saya saya pula (yang sedang meniti hari tuanya) negara sedang berada dalam situasi yang amat membimbangkan jika ahli politik negara ini masih enggan mencari jalan penyelesaian yang rasional, positif dan muktamad demi kebaikan rakyat serta negara. 


Kita perlu berubah dalam cara memilih pemimpin itu.

No comments:

Post a Comment

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...