Wednesday, September 29, 2021

Kawalan data peribadi perlu diketatkan....

Maklumat peribadi rakyat hilang


Laporan yang disiarkan oleh akhbar tempatan semalam tentang berlakunya kejadian penjualan data  sebanyak 4 juta penduduk negara ini dalam Internet telah membuka mata semua pihak betapa seriusnya masalah privasi terutama maklumat peribadi seseorang itu. Laporan itu mengatakan bahawa data yang melibatkan nama, emel, nombor telefon dan juga alamat tetap bersama-sama dengan nombor kad pengenalan dan sebagainya memberikan satu amaran kepada kita semua mengenai keperluan mengawal maklumat peribadi ini dengan lebih baik. Data kad pengenalan yang dikatakan terjejas ini membabitkan rakyat Malaysia yang dilahirkan antara tahun 1979 dan 1998.


Menurut laporan akhbar itu pihak polis sedang berusaha untuk menghalang penjualan informasi ini menerusi Internet. Laporan mengenai penjualan data peribadi kad pengenalan ini turut dilaporkan oleh halaman sesawang lowyat.net yang mengatakan bahawa terdapat data rakyat Malaysia yang dijual dengan nilai yang agak tinggi juga di pasaran gelap Internet yang mengkhusus dalam penjualan data masyarakat dunia itu.


Persoalannya bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa (bukan setakat memberikan informasi dalam sidang media sahaja tanpa ada sebarang usaha mengetatkannya)? Apakah kehilangan data ini merupakan satu kecuaian  atau satu perkara yang tidak boleh dielakkan? Bagaimana dengan sistem perisian yang digunakan untuk mengawal data-data sensitif sebegini? Namun, perkara yang paling mengejutkan ialah jika kejadian kehilangan ini didalangi oleh orang dalaman. Jika perkara ini dilakukan oleh orang dalam, sudah pasti rakyat berhak tahu mengenai tindakan susulan yang hendak dilakukan oleh pihak berkuasa. Semua pertanyaan ini perlu dijawab dengan data-data yang boleh disokong kebenarannya.


Kebocoran maklumat peribadi ini amat bahaya kerana banyak pihak yang mempunyai kepentingan tidak baik boleh menggunakan maklumat ini untuk menipu atau memperdayakan pihak lain. Maklumat ini akan menjadi kelebihan penjenayah untuk menggunakannya dalam usaha memberikan keyakinan kepada pihak lain bahawa mereka manusia yang jujur. Akibatnya, jenayah terutama jenayah penipuan akan bertambah pula.


Amalan penjualan data peribadi penduduk di dunia dan kemungkinan rantau Asia Tenggara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Persoalannya sampai bila lagi kita semua perlu mengalami perkara sebegini? Tidak adakah ahli parlimen yang berusaha untuk membawa sebarang cadangan konkrit untuk memastikan data peribadi penduduk negara ini terjamin? Atau masalah ini akan terus didiamkan tanpa sebarang tindakan dan Hanya akan berbangkit semula apabila isu ini timbul pada masa depan. Atau mungkin juga selepas ini amalan menuding jari akan dilakukan tanpa ada sebarang pihak yang berani untuk bertanggungjawab atas insiden ini.


Friday, September 17, 2021

Perjanjian AUKUS bawa ketidakstabilan rantau Asia Pasifik

Pakatan AUKUS bawa perlumbaan senjata Asia Pasifik


Perjanjian Pakatan AUKUS yang melibatkan Amerika Syarikat dan Australia dan UK telah mengemparkan masyarakat dunia terutama China dan Perancis. Pakatan ini dikatakan bertujuan untuk mengekang perluasan kuasa China di di rantau Asia Pasifik tetapi banyak pihak melihat usaha ini turut mendedahkan Australia untuk membuka negara itu menjadi sebuah negara yang menggunakan kuasa nuklear pada masa depan terutamanya dalam penghasilan tenaga elektrik.



Kerjasama pakatan ini yang paling ketara ialah usaha Australia yang mahu menghasilkan beberapa kapal selam nuklear mereka. Langkah ini telah menimbulkan kemarahan Perancis kerana negara itu terlebih dahulu telah memeterai perjanjian untuk menghasilkan kapal selam Australia pada tahun 2016. Perjanjian Perancis dan Australia untuk membekalkan beberapa kapal selam itu nampaknya telah dibatalkan. Perjanjian ini melibatkan pembinaan kapal selam berkuasa turbo diesel berbanding nuklear. Tindakan marah kerajaan Perancis itu bukan sahaja disebabkan mereka kerugian berbillion-billion ringgit tetapi paling penting mereka berasa tersinggung kerana tidak disertakan sekali dalam perjanjian pakatan ini. Perancis berasa mereka seharusnya diberi taklimat atau dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perjanjian pakatan ini. Perasaan amarah Perancis ini boleh disimpulkan apabila pemimpin negara itu mengaitkan perjanjian pakatan ini sebagai satu tikaman dari belakang.


Manakala, China melihat perjanjian pakatan ini bukan sahaja tidak perlu tetapi telah menyebabkan timbulnya suasana yang tidak stabil di rantau Asia Pasifik. Perjanjian pakatan ini dikatakan akan menimbulkan atau menghangatkan lagi perlumbaan senjata di rantau Asia Pasifik terutamanya di kawasan Laut China Selatan itu. China melihat perkongsian teknologi nuklear dalam pembinaan kapal selam Australia ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat dalam usaha untuk memerangi perluasan pengaruh China. Perluasan pengaruh China di kawasan Laut China Selatan yang menyaksikan beberapa buah negara ASEAN turut mempertikaikan perluasan yang dilakukan oleh China itu.


NATO secara amnya belum lagi memberikan pngumuman rasmi tetapi secara am NATO pasti melihat perjanjian pakatan ini sebagai satu kaedah untuk menguatkan lagi pengaruh mereka di rantau Asia Pasifik dan menguatkan lagi keselamatan di Rantau Asia Pasifik. Kewujudan pakatan ini secara tidak langsung turut menularkan pengaruh NATO di rantau ini walaupun Australia bukanlah sebagahagian daripada pakatan ketenteraam itu tetapi Amerika Syarikat serta Britain merupakan anggota utama mereka. Perjanjian ini seolah-olah memberikan perluasan pengaruh NATO secara tersirat pula.


Buat Australia perjanjian pakatan AUKUS lebih menarik kerana pakatan ini akan menyediakan panduan untuk menghasilkan kapal selam berkuasa nuklear yang jauh lebih baik berbanding berkuasa diesel. Kapal selam nuklear juga membolehkan tentera Australia menjalankan operasi yang lebih lama untuk jarak yang lebih jauh tetapi senyap lalu menyukarkan proses pengesanan oleh pihak musuh. Manakala, kapal selam berkuasa diesel pula masih memerlukan tindakan untuk naik ke permukaan dan kemungkinan lebih mudah dikesan kerana menghasilkan bunyi yang lebih kuat berbanding kapal selam nuklear.


Perjanjian untuk menghasilkan kapal selam nuklear ini akan menguji kekuatan kerajaan Australia pada mata masyarakat mereka kerana negara itu sememangnya tidak mempunyai sebarang tenaga nuklear sejak tahun 1998. Adakah rakyat negara itu bersedia untuk mempunyai kapal selam nuklear yang akan sering berlabuh di pelabuhan tentera mereka nanti? Adakah perjanjian pakatan AUKUS ini akan menandakan adanya proses untuk menamatkan pengharaman penggunaan nuklear di negara itu terutama dalam aspek penghasilan tenaga?

Tuesday, September 7, 2021

El Salvador gunakan bitcoin sebagai mata wang rasmi negara mereka

 El Salvador umumkan bitcoin sebagai mata wang rasmi negara


Negara El Salvador telah memulakan satu ujian yang paling getir iaitu negara itu telah mengumumkan bahawa BITCOIN akan menjadi mata wang rasmi negara itu. Pengumuman ini pastinya akan dilihat dan dikaji oleh negara-negara lain yang ingin mengetahui keberkesanan penggunaan bitcion dalam urusan harian kewangan sesebuah negara. Langkah ini bermakna, semua perniagaan di negara itu diwajibkan untuk menerima bayaran dalam bentuk bitcoin apabila diminta oleh pengguna. 


Namun, pengumuman ini turut disertai dengan pelbagai pertanyaan. Pertama, adakah rakyat biasa di negara itu benar-benar memahami konsep bitcoin? Kedua, bagaimana pula dengan persediaan bank di negara itu dalam menguruskan bitcoin terutama aspek penyediaan ATM untuk kegunaan umum? Ketiga, mengapakah tindakan ini dilakukan sekarang?Rakyat negara itu akan menerima US30 dalam bentuk bitcoin sebaik sahaja mereka memuat naik aplikasi e-dompet digital yang dihasilkan oleh kerajaan itu dalam proses penggunaan wang kripto ini.


Setakat artikel ini ditulis, pengumuman bitcoin ini merupakan salah satu langkah Presiden Nayib Bukele untuk memodenkan sistem kewangan negaranya bersama-sama untuk menghapuskan penggunaan orang tengah yang telah mengenakan bayaran tinggi untuk sebarang penghantaran atau transaksi kewangan. Bayaran kiriman wang di negara ini telah disalahgunakan oleh pihak tertentu lalu penggunaan bitcoin boleh menyediakan satu ruang yang bukan sahaja mudah tetapi murah untuk sebarang penghantaran wang. El Salvador mempunyai ramai rakyatnya yang bekerja di luar negara terutama di Amerika Syarikat. Penghantaran wang dari luar negara merupakan antara aktiviti utama rakyat negara itu.


Ada juga pihak berpendapat pengumuman ini bertujuan untuk mengekang aktiviti penggubahan wang haram yang begitu ketara di El Salvador. Pada masa yang sama, amalan rasuah yang melampau turut berlaku di negara Amerika Tengah itu. Penggunaan bitcoin dikatakan mampu menjadikan semua pihak yang terlibat dalam urusan kewangan dalam situasi yang lebih adil. Penggemar bitcoin sering menyalahkan pihak bank yang dikatakan mempunyai kelebihan dalam urusan kewangan walaupun wang yang disimpan di bank itu asalnya dimiliki oleh orang ramai.


Negara itu juga berpendapat bahawa penggunaan bitcoin ini boleh menarik kumpulan-kumpulan pelabur lain untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara itu. Golongan pelabur yang mempunyai idea yang kreatif berbanding pelabur kategori lama yang agak sukar untuk menerima perubahan dalam proses pemberian pinjaman kewangan kepada negara itu.Penggunaan bitcoin juga diharapkan oleh kerajaan negara itu akan memudahkan urusan kewangan rakyat negara itu yang masih jauh tertinggal dalam penggunaan sistem perbankan cara lama.


Usaha menggunakan bitcoin di negara itu dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat bitcoin dari Amerika syarikat yang dikenali dengan nama Strike. Kerjasama ini menyaksikan negara itu telah menyediakan beratus-ratus kemudahan ATM bitcoin yang dipanggil Chivo. Ada pihak yang menyatakan bahawa pengumuman ini mungkin akan diikuti oleh beberapa buah negara lain di Amerika Selatan yang sedang sibuk memerhatikan impak yang bakal melanda negara itu.


Kalau pembaca semua masih ingat, kerajaan China sejak akhir-akhir pula sering melakukan pemantauan yang ketat terhadap mata wang kripto sehingga menyebabkan banyak industri perlombongan mata wang kripto China telah beralih ke negara lain seperti Amerika Syarikat untuk menjalankan aktiviti mereka.


Kita lihat sama ada uji kaji penggunaan bitcoin ini akan berjaya atau tidak di El Salvador kerana sebarang kesudahannya pasti akan membawa tempias kepada sistem kewangan dunia dan kemungkinan juga Malaysia nanti.

Monday, September 6, 2021

Pekerja harus dibenarkan bermain permainan video?

Permainan video cetuskan semangat berpasukan pekerja


Permainan video games di pejabat? Pastinya banyak mata akan merenung tajam kerana konsep bermain permainan terutama permainan video sering dilihat akan menimbulkan persoalan kesuntukan masa untuk sesuatu kerja yang perlu diselesaikan. Namun, sama ada kita sedar atau tidak permainan video sudah banyak berubah sehingga permainan sebegini sudah menjadi satu bentuk perniagaan yang membolehkan banyak jutawan dilahirkan. Lihat sahaja kursus-kursus berkaitan permainan  video yang ditawarkan oleh pihak universiti dalam dan luar begara.Semua mengesahkan bahawa permainan video membawa perubahan.


Jadi, apakah perkara yang paling mudah boleh dihasilkan oleh permainan video kepada sesebuah syarikat itu?


Semangat berpasukan.


Ini merupakan satu masalah yang rumit kerana untuk mewujudkan semangat bepasukan yang kukuh, satu keserasian amat penting. Namun, semangat berpasukan ini merupakan satu elemen yang paking dilupakan oleh mana-mana syarikat di negara ini. Jika seseorang peekrja itu gagal untuk bekerja dengan rakan sekerja yang lain pastinya kualiti kerja mereka akan merosot. Ini akan menghasilkan satu keadaan yang tidak baik kepada diri sendiri dan semua pekerja syarikat itu. 


Semangat berpasukan bukanlah merujuk amalan keluar makan atau minum selepas kerja. Semangat berpasukan merujuk kemampuan minda pekerja untuk saling berinteraksi antara mereka lalu mewujudkan satu hubungan dengan rakan sepejabat yang sihat dan aman. Semangat berpasukan memudahkan sebarang urusan di pejabat daripada sukar menjadi mudah untuk diselesaikan.


Banyak syarikat menghabiskan ribuan atau mungkin jutaan ringgit dalam mengadakan latihan-latihan pemupukan semangat sepasukan secara tradisional atau pun mengadakan satu hari khas yang menyaksikan pekerja syarikat akan berkumpul untuk melihat filem tertentu di pawagam. Kemungkinan kos perbelanjaan yang jauh lebih murah boleh dibelanjakan untuk menyediakan satu tempat atau bilik khas yang memberi ruang kepada pekerja mereka untuk bermain permainan video.


Permainan video menyediakan satu aktiviti sosial yang kreatif lalu jika amalan ini dilakukan dengan baik pastinya minda pekerja syarikat akan menjadi lebih sempurna. Permainan yang dilakukan secara harian akan menyediakan pekerja syarikat untuk saling memahami satu sama lain terutama aspek pemikiran pekerja lain sehingga membantu mereka untuk menghasilkan satu kaedah yang kreatif  dalam mencapai matlamat syarikat itu sendiri.


Sudah banyak kajian yang menyatakan bahawa permainan video yang dilakukan oleh seseorang itu akan menjadikan diri mereka lebih mudah memahami keperluan teknologi semasa, mengukuhkan lagi skil atau kemampuan menyelesaikan masa bersama-sama meninggikan kemahiran fizikal dan mental terutama setelah menghadapi tekanan kerja yang berlambak-lambak itu. Mungkin penulisan ini ringkas tetapi kini sudah wujud persepsi dalam kalangan pakar yang mengaitkan betapa perlunya pekerja diberi ruang untuk memainkan permainan dalam waktu kerja mereka terutama permainan video itu. 


Kita harus sedar bahawa pekerja yang gembira dengan kerja mereka akan menjadi seorang pekerja yang bukan sahaja setia dengan syarikat tetapi mampu menghasilkan sumbangan yang berguna kepada keuntungan syarikat pada masa depan.


Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...