Monday, October 25, 2021

Kekalahan Man U Ahad lalu mengejutkan semua

Bola sepak satu pasukan dan bukannya satu pemain terkenal sahaja


Berita kemenangan kelab Liverpool menenatng Manchester United Ahad lalu telah menyebabkan pelbagai spekulasi timbul terutama tentang masa depan Ole Gunnar Solskjaer. Namun, saya sebagai peminat bola berpendapat Manchester United perlu kembali kepada asas konsep permainan bola sepak. Maksud saya, Man U perlu mengutamakan pasukan dan bukannya individu terkenal dalam pasukan mereka.  


Kalau kita lihat perlawanan itu, semua pemain Liverpool berusaha untuk menyerang dan bertahan secara satu unit pasukan berbeza dengan pasukan Man U yang lebih ke arah mahu menjadi pemain utama. Lihat sahaja Mo Salah yang sanggup berlari turun membantu mempertahankan Liverpool apabila diserang oleh pihak lawan. Adakah Ronaldo atau Greenwood mahu berlari turun ke bawah melakukan tugas pertahanan? Jika pemain-pemain ini enggan turun membantu, sudah pasti Ole  harus mempunyai perancangan untuk menugaskan pemain lain membantu atau melindungi keenggaan Ronaldo atau Greenwood menghadapi serangan Liverpool. Asas  perlawanan bola sepak ialah pemain mesti berlari, membuat rempuhan atau tackle dan saling mengingatkan satu sama lain tentang situasi perlawanan. Man U pada perlawanan itu tidak melakukan semua ini. Kekalahan ini bukan disebabkan angka gol tetapi cara Man U menerima kekalahan itu yang mengejutkan semua pihak.


Ole sudah menjadi jurulatih kelab ternama ini sejak 2018 tetapi beliau masih gagal untuk memenangi sebarang piala pun. Pada masa yang sama, Ole telah menghabiskan jutaan wang untuk membeli pemain berkualiti tinggi seperti Jadon Sancho, Christiano Ronaldo dan juga Raphael Varane. Semua pemain yang dibeli ini sememangnya bagus tetapi Man U perlu sedar bahawa apakah kehadiran pemain-pemain terkenal sebegini akan menjadikan kedudukan mereka sebagai satu unit pasukan lebih kuat atau tidak? Ini persoalan asas yang seharusnya Ole sebagai jurulatih memahaminya.


Apakah identiti yang hendak dibawa oleh Ole dengan membeli pemain-pemain ternama ini? Penulis berpendapat Ole gagal menggunakan pemain-pemain Man U yang sedia ada dengan sebaik mungkin dalam sebarang sesi taktikalnya. Pasukan Man U pada masa ini tidak mempunyai keseimbangan yang dimiliki oleh Man City, Chelsea dan Liverpool. Jika bukan Ole yang menjadi jurulatih Man U sudah pasti individu itu sudah dipecat oleh pihak pengurusan Man U tetapi disebabkan sejarah dan jasa Oleh terhadap kelab itu kemungkinan untuk beliau dipecat kelihatan samar-samar kerana isu pemecatan Ole ini sudah mula kedengaran tahun lepas lagi tetapi beliau masih diberikan tanggungjawab itu.


Pembaca juga perlu sedar bahawa Liverpool pada perlawanan itu tidak menurunkan kesebelasan utama mereka dan selepas kehilangan Pogba, Liverpool hanya menguasai bola tanpa melakukan serangan pantas seperti pada separuh masa pertama. Man U masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki segera sebelum perlawanan menentang Spurs berlaku itu.

Tuesday, October 5, 2021

Kopi minuman dunia

Kopi merupakan minuman yang ketiga terbanyak dinikmatin oleh masyarakat dunia selepas air kosong dan teh. Buat masa ini, Brazil merupakan negara pengeluar utama kopi dunia. Saya sendiri suka minum kopi. Biasanya, waktu pagi saya akan membuat kopi dahulu sebelum mengosok gigi. Setelah menghirup aroma kopi itu barulah saya akan melakukan tugas-tugas rutin pula. Biasanya, satu hari saya akan mengambil antara 3-6 cawan kopi tanpa gula.


Kenapa saya minum kopi? Pengalaman minum kopi merupakan satu pengalaman yang rumit tetapi menyenangkan. Sebab utama sebab kopi memberikan satu aroma yang menyenangkan kepada diri saya. Air kopi yang panas suam ketika pagi memberikan satu kelegaan kepada diri dan paling penting saya begitu gembira apabila menikmati kopi bersendirian sambil merenung kehidupan diri dari tingkap dapur saya setiap hari itu.


Amalan minum kopi juga memerlukan sikap menyesuaikan diri kerana air kopi secara amnya agak pahit. Mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kopi perlulah memahami perkara ini terlebih dahulu. Sememangnya, kopi kini sudah mula ditambah dengan susu dan gula serta pelbagai pemanis lainnya yang pada pandangan saya sudah menjejaskan keunikan rasa kopi itu. Kopi sejati pada firasat saya perlu diambil dalam bentuk kopi kosong tanpa gula dan susu. Namun, setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza.


Selain Brazil, Vietnam dan Colombia merupakan dua negara pengeluar utama kopi dunia.  Manakala, negara Indonesia dan Honduras serta Ethiopia merupakan beberapa lagi negara pengeluar kopi terkemuka dunia yang berjaya menghasilkan biji kopi yang berkualiti dan tersendiri unik rasa aromanya. Kemungkinan pembaca pernah mendengar cerita tentang Kopi Luwak yang dihasilkan oleh sejenis musang di Indonesia. Biasanya, penanam kopi di Indonesia akan membela musang ini yang akan memakan biji kopi lalu mengeluarkan biji kopi itu sebagai sebahagian daripada najisnya. Biji kopi ini akan dibersihkan sebelum dikisar seperti biji kopi yang lainnya. Saya pernah meminum kopi luwak ini ketika melancong ke Indonesia suatu masa dahulu dan harganya memang agak jauh lebih mahal malah lebih mahal daripada harga kopi Starbuck itu.


Namun, perubahan cuaca dunia telah menyebabkan penanaman kopi dunia mengalami masalah. Situasi ini menyebabkan penanam kopi dunia terpaksa mencari biji benih yang lebih baik terutama yang mampu menahan perubahan cuaca global yang ketara itu. Mungkin kita juga akan berjaya menghasilkan biji kopi yang berkualiti pada masa depan untuk dihirup oleh peminat kopi dunia nanti.

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...