Friday, November 19, 2021

Dunia mula melihat kenderaan tanpa pemandu sebagai penting

Dunia mula melakukan ujian kenderaan tanpa pemandu tetapi Malaysia…


Laporan media massa luar negara menyatakan bahawa Singapura merupakan negara ke-4 di dunia yang dikatakan sebagai negara yang bersedia untuk menerima konsep pemanduan kenderaan tanpa pemandu (driverless transport). Negara jiran Malaysia itu mengikuti Sweden, China dan Belanda yang merupakan negara yang berada di tangga teratas dalam senarai kajian ini.


Laporan kajian ini dibuat berdasatkan kepada kesungguhan negara itu untuk memajukan sektor ini dengan melakukan beberapa tindakan awal seperti mewujudkan kawasan ujian yang boleh menerima kewujudan sistem kenderaan tanpa pemandu ini.  Namun, kita harus sedar bahawa kelebihan Singapura juga disebabkan oleh kesediaan penduduk negara itu yang sanggup menggunakan pengangkutan awam berbanding dengan negara lain terutamanya Malaysia. Penggunaan aplikasi navigasi di negara itu juga agak tinggi yang memberikan tanda-tanda bahawa penduduk negara itu bersedia untuk menerima perubahan yang lebih ketara dalam sistem pengangkutan terutama pengangkutan awam pada masa depan.


Pengenalan pengangkutan tanpa pemandu boleh membawa beberapa kebaikan kepada sesebuah negara terutama kota raya yang semakin dipenuhi dengan kenderaan dan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi itu. Kelebihan utama pengangkutan tanpa pemandu ialah kenderaan jenis ini dikatakan mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan kerana peratusan kemalangan jalan raya yang berlaku banyak disebabkan oleh kesilapan manusia atau pemandu itu sendiri seperti tidur dan mengambil minuman keras yang berlebihan. Kalau pembaca sedia maklum sekarang ini banyak kenderaan baharu yang dilengkapkan dengan sistem ADAS atau dikenali dengan nama sistem keselamatan pemanduan terkini yang berguna ketika melakukan perhentian kecemasan dan sebagainya.


Malah, kemajuan utama dalam sistem pengangkutan tanpa pemandu ini lebih banyak diterajui oleh kenderaan persendirian terutamanya oleh syarikat seperti Tesla dan Baidu serta General Motors. Namun, syarikat Ford juga dikatakan sudah mula melakukan pelbagai ujian kereta tanpa pemandu kerana mereka sudah mula melihat kemungkinan kenderaan sebegini menjadi pilihan generasi akan datang.


Malaysia juga seharusnya mula melakukan program yang boleh melihat kemungkinan penggunaan kenderaan tanpa pemandu terutama selepas penggunaan sistem LRT Kelana Jaya  yang tidak mempunyai pemandu itu harus dilanjutkan ke pelbagai sektor lain setelah kajian yang menyeluruh dilakukan terutama aspek keselamatan pengguna. Kajian ini penting kerana sama ada kita sedar atau tidak konsep kenderaan tanpa pemandu ini sudah mula menjadi bahan berita dalam media massa yang mendedahkan bahawa konsep ini bukan lagi satu angan-angan mat jenin tetapi realiti yang hanya menunggu masa untuk diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat terutama kemunculan pandemik yang melanda dunia telah memungkina konsep kenderaan tanpa pemandu yang boleh menghalang penularan wabak pada masa depan.


Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...