Sampai bila mutu sukan negara mahu terus merudum…
Satu perkara yang menarik tentang dunia sukan negara ialah kita gagal untuk mengekalkan kecemerlangan dalam sesuatu bidang sukan itu untuk satu tempoh yang lama. Era tahun 70-an dan 80-an mutu sukan negara terutamanya bola sepak dan hoki negara serta badminton begitu ditakuti oleh negara-negara jiran Asia Tenggara malah Asia pun tetapi sekarang negara-negara seperti Vietnam dan Thailand or Mymmar semakin menyerlah dalam sukan bola sepak.
Lihat sahaja kejayaan Taiwan melahirkan pemain badminton lelaki dan wanita dan bergu dunia. Begitu juga dengan Thailand yang menghasilkan pemain badminton wanita dunia dan pasangan bergu campuran serta wanita yang berkualiti atau pandang sahaja kemampuan Jepun melahirkan barisan pemain badminton lelaki dan wanita yang bukan calang-calang hebatnya. Kita perlu meninjau rahsia kejayaan mereka dalam program melahirkan jaguh dunia itu.
Kita juga mempunyai jaguh dalam sukan badminton dan squash serta lumba basikal tetapi setelah jaguh-jaguh ini bersara, persoalan pengganti akan timbul sehingga wujud satu tempoh yang menyaksikan sukan itu terus ketinggalan mutunya. Jadi, apakah masalah yang melanda dunia sukan negara? Mengapakah kita masih gagal untuk menjadi satu kuasa dunia dalam satu-satu acara sukan untuk satu tempoh yang lama?
Ambil sahaja contoh BAM dan FAM yang kini sedang mengalami kemelut dalam pengurusan badan sukan mereka. Kegagalan FAM untuk merangkul kejuaraan dalam kejohan bertaraf dunia akhir-akhir ini telah menyebabkan banyak pihak berpendapat pengurusan FAM perlu berubah. Begitu juga tindakan seorang pemain badminton handalan negara untuk keluar daripada BAM telah menjemput pelbagai kritikan terhadap kemampuan bandan induk itu dalam menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Mungkin tidak keterlaluan kalau saya simpulkan bahawa kegagalan badan-badan sukan di negara ini (tidak menjurus BAM dan FAM) disebabkan masalah pemilihan barisan pemimpin yang mentadbir persatuan-persatuan itu. Kalau kita kaji, Malaysia tidak mempunyai budaya untuk melantik bekas pemain atau golongan profesional untuk menguruskan persatuan sukan dengan pelbagai alasan terutama kesukaran untuk memperoleh peruntukan kewangan pula. Akibatnya, banyak barisan pemimpin ini merupakan golongan politik, atau golongan yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti sukan itu juga.
Apabila golongan yang tidak tepat dilantik untuk mengetuai sesebuah persatuan sudah pasti banyak aktiviti yang efektif tidak mampu dijalankan kerana golongan ini tidak pernah atau mengalami sendiri kesukaran sebagai ahli sukan atau memahami keperluan sebagai ahli sukan. Mereka menguruskan persatuan sukan sebagai orang luar yang cuba bersikap objektif tetapi pada masa yang sama mereka sendiri tidak memahami keperluan sebagai ahli sukan itu. Lantikan yang dibuat atas dasar kenal satu sama lain juga menyebabkan kurangnya cetusan idea yang bernas dalam melahirkan ahli-ahli sukan generasi baharu apabila jaguh-jaguh lama bersara.
Mungkin sudah sampai masanya, semua persatuan sukan di negara ini diterajui oleh mereka yang pernah menyertai acara sukan itu supaya mereka boleh nampak keperluan yang diperlukan sebagai ahli sukan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan itu. Ahli sukan yang mengetuai sesuatu persatuan sukan juga bermakna mereka boleh mengadakan pelbagai bentuk latihan yang bersesuain dengan usaha melahirkan lebih ramai ahli sukan yang berkualiti pada masa depan. Bak kata pepatah jauhari juga yang mengenal manikam.
Mungkin juga tempoh pengurusan sesuatu pemimpin persatuan sukan itu ditetapkan selama tiga tahun atau lima tahun. Apabila mereka mula dilantik mengetuai sudah pasti ada KPI yang perlu dicapai dan jika dalam tempoh tiga tahun gagal mencapai semuanya, pemimpin itu perlu mengundurkan diri kerana semua tindakan yang mereka rancang gagal untuk membuahkan hasilnya. Konsep sebegini juga membolehkan lebih banyak idea baharu diperkenalkan dalam usaha untuk melonjakkan peluang negara menjadi sebuah kuasa dalam dunia sukan.
Mungkin sudah sampai masanya kita melantik pemimpin persatuan sukan yang benar-benar mahu membuat satu perubahan dan bukan sekadar menerima gaji setiap bulan atau menggunakan sukan itu untuk meninggikan imej mereka sahaja. Sudah sampai masanya, kita menerima idea-idea baharu untuk memajukan sukan negara kerana kalau kita masih beroperasi dengan menggunakan konsep lama sudah pasti negara akan terus ketinggalan dalam dunia sukan ini. Apabila perkara itu berlaku, adakah kita masih mahu mendengar alasan-alasan yang sudah basi selama ini atas usaha untuk menutup kelemahan diri?
Moga sukan negara terus bersinar.
No comments:
Post a Comment