Kenneth Low merupakan bekas pemain skuash negara yang terkenal suatu masa dahulu. Berdasarkan informasi dalam media massa, beliau pernah menjadi juara kebangsaan untuk beberapa tahun dan pernah membawa beberapa kejayaan dalam kejuaraabn skuash antarabangsa. Namun, tularnya berita beliau yang bekerja sebagai pencuci pejabat telah mengejutkan semua.
Persoalan yang bermain di minda saya ialah kenapakah situasi ini berulang lagi? Kalau tidak silap kes yang serupa menimpa beberapa pemain bola sepak negara dan beberapa jaguh negara yang lain. Kenapakah mereka ini tidak diberikan bantuan yang sewajarnya selepas menamatkan karier sebagai pemain kebangsaan. Apakah organisasi sukan negara tidak memikirkan isu persaraan ahli sukan negara? Apakah tidak wujud skims tertentu yang akan memberikan bantuan kepada ahli sukan negara? Tidak ada skims insurans yang boleh diambil untuk menyelesaikan kemelut ahli sukan negara yang sudah bersara ini?
Bukankah organisasi sukan di Malaysia ini mempunyai barisan pengurusan yang berkemampuan. Kalau kita lihat carta organisasi persatuan-persatuan sukan begitu menakutkan terutama melihat kelayakan akademik dan pengalaman mereka tetapi masalah ini masih berlanjutan setiap tahun. Tidakkah mereka memikirkan masa depan ahli sukan persatuan mereka itu? Mereka tidak meneroka sebarang pakej persaraan yang bersesuaian dengan kesungguhan dan kejayaan yang telah dibawa oleh ahli sukan sebelum ini atau mereka hanya menganjurkan kejohanan demi kejohanan sahaja atau mereka mengisi kedudukan dalam pengurusan itu atas alasan gaji atau bekerja semata-mata tanpa perlu melakukan lebih baik lagi. Negara sudah merdeka berpuluh-puluh tahun tetapi masih tidak ada sebarang bentuk bantuan yang telus dan jelas tentang ahli sukan negara.
Betul, semua ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi tetapi kita harus melihat jaguh-jaguh sukan ini telah memberikan khidmat dan keringat mereka untuk mengharumkan nama negara. Satu skims persaraan yang lebih telus dan mudah difahami harus disediakan oleh organisasi sukan yang terbabit. Tetapkan had bantuan yang boleh diberikan kepada ahli sukan yang sudah menabur bakti kepada negara itu sepertyi bekas pemenang Sukan Olimpik layak menerima bantuan tertentu termasuklah wang saku bulanan untuk tempoh tertentu atau sekurang-kurangnya membantu mereka ketika mereka dilanda masalah kesihatan terutama aspek membayar kos rawatan. Kita mempunyai banyak hospital kerajaan yang berkemampuan untuk memberikan perhatian yang baik kepada bekas jaguh negara ini jika hospital swasta enggan membantu akibat faktor kewangan yang tinggi.
Jika wujud bentuk-bentuk pakej persaraan bekas ahli sukan negara, pihak persatuan wajar mendedahkannya kepada umum supaya ahli sukan yang terlibat tahu tempat yang perlu mereka pergi untuk meminta bantuan. Informasi sebegini akan memudahkan bekas ahli sukan ini membuat permohonan dan sebagainya apabila mereka mendapat musibah dalam kehidupan nanti. Maklumkan kepada ahli sukan yang bersara tentang jenis-jenis bantuan yang disediakan oleh persatuan. Kumpul maklumat mereka dan jalankan aktiviti yang memastikan mereka terus berhubung setelah menabur khidmat bakti itu.
Kita harus sedar bahawa sukan memainkan peranan penting kepada pembangunan negara. Kita harus bersedia untuk melakukan lebih untuk ahli sukan negara ini. Kita perlu memberikan mereka satu bentuk bantuan yang sewajarnya supaya ahli sukan muda akan lebih bersemangat untuk memberikan fokus menjadi jaguh dalam acara sukan mereka. Bayangkan persepsi ahli sukan muda apabila membaca berita tentang bekas pemain kebangsaan ini? Atau sudah sampai masanya pemilihan pihak yang menguruskan persatuan sukan ini diberi kepada mereka yang pernah terlibat dalam sesuatu acara sukan itu sahaja? Isu ini sudah tular lalu apakah yang hendak dilakukan oleh pihak yang sewajarnya dalam menyelesaikan hal ini. Perkara inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Malaysia.
No comments:
Post a Comment