Wednesday, August 14, 2024

Kes buli terus menerus berlaku?

 Kes buli terus menerus berlaku


Keputusan mahkamah untuk mengekalkan hukuman gantung terhadap enam bekas pelajar sebuah universiti tempatan atas kesalahan membuli telah mendapat liputan meluas media massa. Kenapa perkara ini terus berlaku di negara ini.


Kalau kita melihat secara mendalam isu buli ini beberapa perkara lain turut muncul. Pertama sekali ialah konsep bertanggungjawab. Banyak ahli masyarakat kita yang masih tidak mahu menjalankan tanggungjawab mereka apabila melihat sesuatu perkara buruk sebegini. Ya mungkin alasan sibuk bekerja dan perkara itu tidak berada dalam bidang kuasa mereka boleh digunakan tetapi kalau perkara buruk sebegini berlaku sudah pasti kita harus mengakui bahawa ada bahagian kehidupan masyarakat kita yang sudah melakukan kesilapan. Bukankah kita harus menggunakan akal untuk memahami situasi yang sedang dilihat di depan mata itu? 


Kedua, kejadian buli yang terus berlaku ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa hukuman untuk kesalahan membuli di negara ini (baik fizikal dan siber) begitu ringan. Kalau tidak silap penulis, ada kes buli siber yang hanya mengenakan hukuman denda beratus ringgit sahaja untuk kesalahan yang dilakukan. Negara perlu mempunyai satu rang undang-undang yang mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah jenayah ini.


Begitu juga dengan peranan pihak berkuasa yang perlu meningkatkan lagi program kesedaran tentang buli ini terutama buli siber kerana kemajuan teknologi maklumat di negara ini yang begitu ketara. Pelbagai program terutama tentang cara untuk mengatasi dan melaporkan amalan buli perlu ditegaskan dengan jelas supaya semua pihak memahami prosedurnya lalu kejadian buruk ini boleh dikekang dengan lebih baik pada masa depan.


Masyarakat juga perlu mengubah mentaliti mereka terhadap isu ini. Konsep buli ini masalah peribadi atau melibatkan kanak-kanak nakal perlu dibuang jauh-jauh. Kejadian buli ini bukan sahaja melibatkan golongan pelajar sekolah tetapi universiti dan saya yakin turut berlaku di ruang pejabat. Perubahan mentaliti ini akan memberikan satu pandangan baharu kepada masyarakat bahawa kes buli bukanlah melibatkan golongan muda tetapi turut melibatkan semua peringkat usia.


Mungkin kejadian buli tidak mampu dihapuskan secara menyeluruh di negara ini tetapi kalau kita semua serius dan bekerjasama pastinya kes buli ini akan hilang dalam sekelip mata sahaja.

No comments:

Post a Comment

Cara-cara murid boleh menjaga alam sekitar

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua, termasuk murid-murid di sekolah. Dengan langkah yang kecil, kita boleh memberikan impa...